SEPANG - Penyanyi lagu raya kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tidak menyangka klip video sempena Aidilfitri bersama Iman Troye mendapat sambutan luar biasa daripada peminatnya, biarpun tanpa mengenakan baju ketat.
Aliff Syukri, 38, berkata, beliau bersyukur kerana muzik video Raya Ya Ya di aplikasi YouTube mendapat tontonan paling banyak.
Usahawan kosmetik itu turut mengucapkan terima kasih kerana orang ramai masih setia menantikan lagu terbaharunya.
"Alhamdulillah, walaupun saya tidak pakai baju ketat, ramai juga yang menonton klip video itu kerana saya berkarya untuk hiburan semata-mata.
"Jadi, saya mengucapkan terima kasih kerana menjadikan video lagu raya terbaharu saya ini paling banyak ditonton,” katanya selepas prosiding kes memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Pada 2022, usahawan yang dikenali ramai dengan slogan ‘Terlajak Laris’ itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi, iaitu video yang sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram aliffsyukriterlajaklaris.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya di sini pada 24 April tahun yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat, sebaliknya menjadi bahan cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.
Video berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap oleh netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.
Malah, ada yang menyifatkan tarian dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Terbaharu, selepas dilancarkan dua minggu lalu, klip muzik video lagu Raya Ya Ya nyanyian duet Aliff Syukri bersama Iman Troye merekodkan 973,000 tontonan di YouTube.
Sedangkan pada bulan lalu, Iman membuat laporan polis terhadap Aliff Syukri ekoran pergaduhan mereka ketika siaran langsung di TikTok mengenai video yang dimuat naik oleh Iman yang mengkritik nyanyian usahawan kosmetik itu.
ARTIKEL BERKAITAN: