Mangsa banjir di Sabah terima bantuan tunai RM1,300

Iklan
Hajiji sempat meluangkan masa berbual dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS ketika lawatannya ke Beaufort.

BEAUFORT - Nasib keluarga yang terjejas akibat banjir di Beaufort dan Membakut mendapat perhatian daripada kerajaan apabila setiap ketua isi rumah (KIR) diberikan bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM1,300.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah wang bantuan itu melibatkan RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan RM300 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Iklan
Iklan

"Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan," katanya selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini pada Selasa.

Hajiji (tiga dari kiri ) ketika melawat keadaan banjir di Beaufort.

PPS tersebut kini menempatkan seramai 147 KIR yang terdiri daripada 412 mangsa manakala terdapat tujuh lagi PPS turut dibuka sejak banjir bermula pada 7 Mac lalu.

Iklan

Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Beaufort ialah seramai 1,944 orang daripada 614 KIR.

Bagi di PPS di Membakut pula, seramai 278 KIR terdiri daripada 836 mangsa turut ditempatkan di Dewan Kesenian Islam.

Iklan

Dalam lawatannya itu, beliau meluangkan masa berbual dengan mangsa banjir dan memaklumkan bahawa kerajaan memahami kesulitan mereka yang berhadapan dengan bencana kali ini.

"Saya datang ke sini untuk berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir sambil melihat sendiri keadaan di lapangan.

"Saya beritahu mereka bahawa kerajaan memahami kesulitan yang dihadapi ketika ini," katanya.

Dalam lawatannya ke kawasan banjir juga, Hajiji turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan semua saluran air, terutamanya longkang untuk mengurangkan banjir pada musim hujan ini.