GEORGE TOWN- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Bayan Lepas dalam operasi khas yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang.
Dalam operasi berkenaan, pelbagai jenis dadah bernilai RM57,326 telah dirampas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam operasi yang dijalankan daripada jam 2 petang, 10 Mac sehingga 1 pagi, 11 Mac itu, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 29 tahun telah diberkas dalam tiga serbuan berasingan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak awal tahun ini dan terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah.
"Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu termasuk lima ketulan mampat ganja seberat 5,002 gram bernilai RM15,500, 19 peket syabu (777 gram) bernilai RM25,641, tujuh batang rokok berisi daun kering disyaki dadah jenis ‘mushroom’ bernilai RM175, serta 10 aluminium foil berisi pil Erimin 5 seberat 560 gram (2,000 biji) bernilai RM16,000.
"Turut dirampas adalah dua bungkusan plastik berisi cecair dipercayai air ketum dengan berat 500 mililiter yang dianggarkan bernilai RM10," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, polis turut menyita dua buah motosikal bernilai RM7,200 dan wang tunai berjumlah RM1,340.
"Dadah yang dirampas mampu digunakan oleh 66,000 orang penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM65,866," jelasnya.
Ujarnya, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
"Ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari bermula 11 Mac hingga 17 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan rotan tidak kurang daripada 12 kali," jelasnya.
Tegas beliau, polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras pengedaran dadah secara menyeluruh dengan kerjasama agensi berkaitan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada JSJN melalui talian hotline 012-2087222," katanya.