Keputusan video raya sumbang babit Aliff Syukri Jumaat ini

Iklan
Aliff Syukri mengenakan kot berwarna coklat hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Selasa bagi keputusan kes memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu.

SEPANG – Keputusan empat kes memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu, dihadapi usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, ditangguhkan ke Jumaat ini.

Semasa prosiding, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Aliff Syukri, 38, selaku orang kena saman (OKS) berkata, prosiding berkenaan ditetapkan pada 14 Mac.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin berkata, sebelum ini mahkamah menetapkan keputusan diketahui pada Selasa.

"Bagaimanapun, kami difahamkan perkara itu dijadualkan semula pada Jumaat, yang mana ia telah dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan,” katanya.

Iklan

Hakim, Ahmad Fuad Othman kemudiannya mengambil maklum perkara tersebut dan menetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan pada tarikh terbabit.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Hasshahari Johari Mawi berkata, keputusan hanya akan diketahui dalam masa tiga hari lagi.

Iklan

"Mahkamah akan membuat keputusan di akhir kes pihak pendakwaan iaitu sama ada wujud prima facie atau sebaliknya.

"Kita tunggu keputusan yang akan diberikan mahkamah, Jumaat ini,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Mohd Radzlan Jalaludin.

Sementara itu, Aliff Syukri mengakui agak terkilan kerana berlaku kesilapan tarikh berhubung kes yang dihadapinya.

Setelah lebih dua tahun turun naik mahkamah, penyanyi lagu raya kontroversi itu berkata, keputusan berhubung kes berkenaan sepatutnya diketahui pada Selasa.

"Kalau menang dan dibebaskan daripada empat tuduhan ini saya bersyukur namun reda jika kalah kes atau diperintah membela diri, kerana kalah menang adalah ketentuan ALLAH, yang peting saya dah berjuang sehabis baik,” katanya.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Aliff Syukri dituduh membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram 'aliffsyukriterlajaklaris'.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya di sini pada 24 April tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi lima minit 23 saat dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada yang menyifatkan tarian dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.