Enam lelaki ditahan promosi kongsi gelap di TikTok

Iklan
Antara barangan yang dikesan dipromosikan di aplikasi sosial oleh suspek. Gambar kecil: Hussein

SHAH ALAM - Polis memberkas enam individu yang dipercayai terlibat mempromosi dakyah kongsi gelap di aplikasi sosial Tiktok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua tangkapan dibuat pada minggu lalu menerusi operasi khas melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, IPD Kajang, IPD Ampang Jaya, IPD Klang Utara serta IPD Gombak.

Iklan
Iklan

Katanya, kesemua tangkapan merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

"Semakan rekod lampau mendapati seorang suspek memiliki 12 rekod jenayah dan satu kes dadah, seorang suspek memiliki tiga rekod jenayah dan seorang lagi dua rekod jenayah.

Iklan

"Polis telah membuka enam kertas siasatan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menyiarkan dakyah pertubuhan yang menyalahi undang-undang serta Seksyen 43 akta yang sama kerana menganggotai pertubuhan haram," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, satu kertas siasatan oleh IPD Kajang telah dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Iklan

Tambah Hussein, tindakan mengesan lain-lain individu yang mempromosikan kongsi gelap akan diteruskan dengan pelaksanaan mekanisme operasi dari masa ke masa di peringkat kontinjen.

Tegasnya, selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, operasi ini juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Terdapat individu yang ditangkap dalam operasi ini tidak mengetahui tindakannya mempromosikan kongsi gelap sebagai satu kesalahan yang lazim dan boleh ditangkap," katanya.