TAHUN ini masuk tahun ketiga Merak Jalanan tidak menjejakkan kaki ke mana-mana bazar Ramadan.
Bukan kerana sudah bosan atau tidak lagi menikmati suasana meriah di bazar Ramadan tetapi lebih kepada keputusan untuk berjimat cermat.
Maklumlah harga juadah di bazar Ramadan saban tahun makin meningkat, kadang-kadang sampai tak masuk akal!
Bayangkan, dahulu bawa RM50 boleh dapat pelbagai juadah tetapi sekarang dengan jumlah sama, mungkin hanya boleh beli tiga juadah.
Bukan tak mahu menyokong peniaga tetapi jika setiap kali ke bazar Ramadan, dompet pula semakin kering, sendiri yang merana sementara menunggu gaji hujung bulan.
Selain faktor harga, pengalaman membeli makanan daripada segelintir peniaga tidak jujur juga membuatkan Merak Jalanan serik.
Pernah terjadi, Merak Jalanan beli ayam percik yang nampak begitu menyelerakan tetapi ketika mahu menikmatinya, dagingnya separuh masak! Beli martabak daging yang diharapkan penuh isi, sebaliknya hanya ada daging yang boleh dikira jumlahnya.
Sangat mengecewakan. Jadi, supaya hati tak sakit, maka Merak Jalanan lebih lebih selesa sediakan sendiri juadah berbuka puasa. Dengan cara itu, bukan sahaja dapat jimatkan duit poket tetapi ia juga salah satu langkah mengelak pembaziran sepanjang Ramadan.
Maklum sahajalah bila berada di bazar Ramadan, nafsu membeli sukar dikawal. Niat asal mahu membeli satu dua juadah, akhirnya pulang dengan plastik penuh di tangan.
Sampai di rumah, perut kenyang berbuka puasa dengan segelas air. Makanan dibeli langsung tak dipandang, malah tak terusik pun sehingga sahur dan akhirnya masuk ke tong sampah.
Mungkin suatu hari nanti apabila keadaan dirasakan sesuai, barulah Merak Jalanan akan kembali mengunjungi bazar Ramadan yang penuh dengan nostalgia itu.