AMPANG - Di sebalik gelak tawa mengisi ruang rumah kebajikan di pinggir kota, tersimpan kisah pilu dan kerinduan yang jarang didengari.
Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home) mula beroperasi sejak tahun 2013 di Taman Sri Gombak sebelum lokasinya berpindah ke Taman Sri Watan, Ampang, pada 2015.
Rumah kebajikan ini menempatkan wanita muslim berumur 70 hingga 80 tahun yang uzur, termasuk golongan asnaf, warga emas menghidap penyakit serta individu mengalami masalah kesihatan mental seperti skizofrenia.
Pengurusnya, Faezah Ali berkata, setiap manusia berhak merasai kasih sayang, begitu juga penghuni Mesra Home.
Mereka juga memerlukan perhatian, keprihatinan dan sokongan emosi agar dapat menjalani kehidupan lebih bermakna.
Sebagai seorang penjaga yang telah mengabadikan hidupnya selama lebih 15 tahun di sini, Faezah memahami pahit manis menjaga warga emas yang sudah tiada tempat bergantung.
"Saya akan terus berada di sini selagi hayat dikandung badan kerana ini merupakan salah satu tanggungjawab dalam hidup saya," katanya pada program Jaulah Iftar bersama LBS Bina Group Berhad (LBS), baru-baru ini.
Beliau mengakui bahawa tugasnya bukan sekadar tanggungjawab tetapi perjalanan hidup yang sarat dengan cabaran, pengorbanan dan kasih tidak berbelah bagi.
Jelas Faezah, kebanyakan penghuni di Mesra Home tidak berkahwin dan tidak mempunyai zuriat.
Beliau yang merupakan bekas jururawat berkata, Mesra Home tidak hanya menyediakan tempat berteduh tetapi memberi ruang kepada penghuni menjalani hari-hari terakhir mereka dengan lebih bermakna.
"Fokus kami di sini adalah meningkatkan kualiti hidup warga emas yang tidak mempunyai ahli keluarga lain. Saya mahu mereka bahagia hingga hujung usia," katanya.
Namun, perjalanan menjaga warga emas bukanlah sesuatu yang mudah. Faezah mengakui cabaran paling besar adalah berdepan kehilangan penghuni yang meninggal dunia.
"Bukan kata tidak reda, namun setiap kali kehilangan mereka, kesedihan itu tetap terasa. Saya sering tertanya-tanya, adakah saya sudah memberikan yang terbaik kepada mereka?" katanya dalam nada sebak.
Sepanjang menguruskan rumah kebajikan itu, Faezah mengakui sudah kehilangan lebih 50 penghuni.
"Setiap pemergian memberi kesan mendalam kerana sudah menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
"Mereka yang pernah tinggal di sini, doa merekalah yang membuatkan saya kuat. Mereka yang pergi, tetap saya rindui,” ujarnya.
Setiap pagi, beliau akan menyapa penghuni dengan senyuman, namun terselit kesedihan di dalam hati yang sukar diluahkan.
Cabaran dan dugaan
Menurut Faezah, menjaga warga emas memerlukan kesabaran luar biasa.
"Saya pernah rasa tidak mampu. Ada masa saya menangis kerana penat dan rindu penghuni yang telah pergi. Tetapi saya tahu, ini jalan yang saya pilih dan saya perlu kuat," ujarnya.
Beliau berkata, Mesra Home bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai berikutan jumlah keseluruhan keperluan bulanan adalah sekitar RM26,000.
"Setiap bulan kami perlu berusaha mencari dana untuk memastikan kelangsungan rumah ini," kata Faezah.
Faezah juga aktif berkongsi ilmu mengenai penjagaan warga emas melalui buku tulisannya, ‘Aku Penjaga Nenek’.
"Ramai yang mahu menjaga ibu bapa mereka, tetapi tidak mempunyai ilmu yang cukup. Sebab itu saya mahu berkongsi pengalaman saya melalui buku berkenaan,” katanya.
Menjelang Ramadan dan Syawal, Faezah berharap lebih ramai akan tampil membantu.
"Setiap kali raya, kebanyakan penghuni di sini tidak pulang kerana tiada siapa yang mengambil mereka.
"Kami menyambutnya bersama, berkongsi kegembiraan seadanya. Namun di sebalik senyuman mereka, saya tahu ada hati yang merindukan keluarga yang mungkin tidak akan kembali lagi," katanya.
Dalam pada itu, Faezah turut merakamkan penghargaan kepada LBS Bina Group Berhad atas sumbangan sebanyak RM3,000 menerusi program Jaulah Iftar bersama LBS serta aktiviti yang diadakan di Mesra Home.
"Sumbangan ini amat bermakna bagi kami dan ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga suntikan semangat untuk kami terus berkhidmat kepada warga emas yang memerlukan," katanya.
LBS santuni warga emas
Keprihatinan terhadap warga emas yang memerlukan perhatian dan kasih sayang menjadi dorongan utama LBS dalam melaksanakan program Jaulah Iftar Bersama LBS.
Syarikat itu mengambil inisiatif mendekati penghuni Mesra Home bagi memberikan sokongan moral serta bantuan keperluan asas.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat LBS Bina Group Berhad, Norazian Abdul Aziz, program itu memberi inspirasi kepada masyarakat dan sektor korporat lain dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.
Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Mesra Home, Norazian mengakui tidak dapat menahan sebak melihat keadaan warga emas di sana.
"Saya rasa sangat kerdil dan sebak melihat mereka. Mereka pernah menjadi tulang belakang masyarakat tetapi kini menjalani hari-hari tua tanpa keluarga di sisi.
"Ada yang bercerita tentang rindu kepada keluarga yang tidak lagi mengunjungi mereka. Ada yang hanya diam, merenung jauh," luah Norazian.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR, LBS melalui tanggungjawab korporat syarikat, LBS Foundation turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk baucar membeli-belah Watsons bernilai RM1,000 yang bertujuan membantu penghuni mendapatkan keperluan asas seperti barangan penjagaan diri, kebersihan dan kesihatan.
Selain itu, aktiviti gotong-royong turut diadakan bagi menceriakan suasana rumah kebajikan tersebut.
"Kami percaya bahawa memberi sumbangan bukan hanya mengenai bantuan kewangan tetapi juga perhatian dan kasih sayang kepada mereka yang memerlukan. Kakitangan LBS turut serta dalam aktiviti gotong-royong mengecat dan menceriakan kawasan rumah ini," katanya.
Norazian turut menekankan bahawa kejayaan program itu bukan hanya diukur melalui jumlah sumbangan tetapi lebih kepada impak yang diberikan kepada komuniti setempat.