TAPAH - Seorang pemandu lori maut dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 328 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Khairil Khaidir Rahman berusia lingkungan 30-an tersepit di bahagian duduk pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan diterima pada jam 12.19 tengah hari melibatkan sebuah lori bonded melanggar bahagian belakang lori satu tan.
Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa.
"Pelanggaran mengakibatkan mangsa yang memandu lori bonded tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
"Ketua Operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.50 tengah hari," katanya.