LIPIS - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersedia menawarkan kepada syarikat pemberi pinjaman untuk menggunakan Sistem Pelaporan Kredit Angkasa (SpEKAR) sebagai pusat sehenti pemeriksaan kelayakan bagi penjawat awam.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha tersebut dapat membantu syarikat terlibat untuk menilai status kredit penjawat awam sebelum memberikan pinjaman.
Menurutnya, ia juga salah satu usaha bagi mengelak risiko golongan terbabit terjebak situasi bankrap akibat komitmen hutang pinjaman berlebihan.
"Syarikat ini boleh menggunakan sistem tersebut terutamanya untuk melihat mana-mana pemohon pinjaman yang berada dalam senarai peminjam bermasalah.
"Ini termasuklah menguruskan kelayakan pemohon untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bagi mengelakkan risiko tinggi peminjam yang tidak mampu membayar balik pinjaman daripada syarikat-syarikat pemberi pinjaman," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk M Bakri Abd Majid, mengenai penjawat awam melakukan pinjaman bank 'luar biasa' tidak lagi mampu membayar pinjaman semula.
Ujarnya, SpEKAR merupakan satu sistem pemarkahan kredit yang boleh digunakan oleh syarikat pemberi pinjaman untuk membuat penilaian awal terhadap pemohon pinjaman sama ada daripada institusi perbankan, koperasi atau syarikat kredit, pajak gadai dan sebagainya.
"Kelebihan SpEKAR ialah kebanyakan penjawat awam mempunyai jaringan kredit melalui koperasi yang mana Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) merupakan komponen utama yang terdapat dalam SpEKAR," tambahnya lagi.
Ujarnya, jumlah 10,000 hingga 15,000 penjawat awam yang terlibat dengan kebankrapan setiap tahun merupakan satu angka yang tinggi.
"Langkah awal dan cepat boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan SpEKAR dan kemudiannya langkah intervensi adalah dengan meluaskan pendidikan tentang kewangan diri boleh dikenal pasti dengan lebih awal melalui pola pinjaman yang mereka lakukan.
"Syarikat pemberi pinjaman juga perlu dimaklumkan tentang keupayaan bakal peminjam sama ada mereka benar-benar layak untuk diberi kemudahan pinjaman termasuklah menawarkan kemudahan kad kredit yang menjadi antara punca utama masalah kewangan individu terbabit," katanya lagi.