SHAH ALAM - Lapan syarikat akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung penalti kewangan RM92.8 juta atas dakwaan terbabit dalam kartel tipuan bida tender terbuka.
Dalam satu kenyataan bersama Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, NYL Corporation Sdn Bhd dan Kiara Kilat Sdn Bhda menyifatkan keputusan serta penalti yang dikenakan sebagai tiada merit.
Menurutnya, syarikat-syarikat berkenaan turut memohon penangguhan keputusan sementara menunggu proses rayuan.
"Kesemuanya akan memfailkan notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) dalam masa terdekat sebagai respons kepada penalti kewangan MyCC berjumlah lebih RM92 juta.
"Sebelum ini, MyCC telah membuat pengumuman melalui kenyataan media berkaitan cadangan keputusan tersebut pada April 2024," katanya pada Isnin.
Suruhanjaya itu membuat pengumuman melalui kenyataan media berkaitan cadangan keputusan terbabit pada April 2024.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan kesemua syarikat berkenaan telah menghantar permohonan semakan kehakiman pada Mei 2024 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keputusan semakan kehakiman dijadualkan pada 30 April ini.
"Bagaimanapun MyCC telah mengeluarkan kenyataan media berhubung penalti kewangan (keputusan akhir denda) pada 28 Februari lalu iaitu sebelum keputusan semakan kehakiman.
"Notis rayuan yang dikemukakan kepada CAT adalah berasaskan hujah-hujah yang kuat, antaranya perolehan projek pada 2019 adalah secara tender terbuka melibatkan 200 buah syarikat iaitu persaingan yang luas.
"MyCC juga telah terlibat dan maklum tatacara perolehan di Kementerian Kewangan (MOF) sebelum Surat Setuju Terima dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya," kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, syarikat-syarikat berkenaan tidak mempunyai kawalan ‘cut-off’ harga tender terbuka kerana hanya dua peratus daripada jumlah petender yang terlibat dan ia tidak memberi sebarang impak kepada penilaian tender terbuka Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Harga tawaran yang dikemukakan adalah di bawah anggaran JKR, sekali gus tidak menyebabkan sebarang kerugian kewangan kepada Kerajaan," katanya.
Kelapan-lapan syarikat itu menegaskan akan mencabar penemuan MyCC berhubung isu tersebut bagi mempertahankan reputasi masing-masing selain mendukung integriti.
"Bagi tujuan itu, kesemua syarikat sedang berunding dengan penasihat undang-undang untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi merayu dan memfailkan permohonan penangguhan keputusan itu buat sementara waktu," katanya.