JOHOR BAHRU – Taktik sindiket pengedaran dadah yang mencampurkan pelbagai jenis bahan terlarang dalam satu peket minuman terbongkar selepas polis menahan tujuh individu termasuk seorang remaja dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada 4 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket berkenaan mencampurkan dadah seperti ketamin dan syabu dalam bentuk serbuk sebelum dimasukkan ke dalam peket minuman segera dan jus buah-buahan.
Menurutnya setiap peket mengandungi pelbagai dadah dijual pada harga RM200, RM230 atau RM300 satu peket bergantung pada saiz.
"Hasil siasatan dan risikan mendapati memang permintaan sekarang dalam bentuk peket seperti ini.
"Ia memudahkan sindiket bergerak tanpa disedari masyarakat atau penguat kuasa," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Isnin.
Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dari jam 7.20 pagi hingga 6 petang, melibatkan kawasan parkir dan sebuah apartmen.
Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 25 hingga 29 tahun ditahan bersama sejumlah dadah.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati dua suspek positif benzodiazepines manakala seorang lagi suspek memiliki rekod jenayah berkaitan dadah.
Beliau berkata, polis turut merampas 9,285 gram(g) serbuk ekstasi bernilai RM1,550,595; 74g ketamin (RM14,800); 24g pil erimin 5 (RM1,800); 11.20g pil ekstasi (RM1,300) dan 18.00 mililiter cecair ekstasi (RM1,500).
"Selain itu, polis turut menyita dua kereta dengan nilai RM55,000, wang tunai RM15,450 dan pelbagai jenis barang kemas RM25,040 manakala nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM1,665,485.
"Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 31,436 penagih. Dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan sindiket sudah beroperasi sejak Januari lalu," katanya.
Sementara itu, dalam serbuan kedua di empat unit apartmen sekitar Larkin antara jam 4.30 petang hingga 2.30 pagi, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 17 hingga 42 tahun.
Dalam serbuan itu katanya lagi, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan lingkungan usia antara 17 hingga 42 tahun ditangkap bersama sejumlah dadah.
Menurutnya, tangkapan itu melibatkan dalang sindiket terbabit dan remaja berkenaan sudah tidak bersekolah, hasil saringan urin pula mendapati seorang suspek positif dadah methamphetamine sementara dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Kumar berkata, pihaknya merampas 32,211g serbuk ekstasi (RM5,379,237); 13,50g syabu (1,485) dan 2.20g pil erimin 5 (RM5,380,882) selain turut merampas sebuah kereta Perodua Viva yang dilaporkan hilang di Cheras; sebuah motosikal (RM3,500) dan wang tunai RM159.
"Nilai rampasan dadah dan sitaan dalam serbuan itu berjumlah RM5,384,541 dan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 107,445 penagih.
"Semua suspek bagi kedua-dua kes tersebut direman hingga 12 Mac ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.