IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengesahkan telah melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak selepas hampir enam tahun memegang tanggungjawab itu.
Menurut Zainol Fadzi, tindakan meletakkan jawatan itu dibuat pada November tahun lalu selepas beliau memenangi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Menurutnya, keputusan tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan hala tuju parti di negeri berkenaan.
"Saya berkhidmat sebagai Setiausaha Bersatu Perak sejak hujung 2018 dan sebelum itu saya adalah Ketua Penaja Bersatu Bahagian Pasir Salak. Selepas meneliti perkembangan parti, saya merasakan sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu mengambil alih tugas ini.
Zainol Fadzi berkata, pertemuan telah dilakukan bersama Setiausaha Bersatu Perak yang baharu iaitu Nadziruddin Mohamed Bandi yang juga ADUN Changkat Jong.
Jelasnya, sepanjang menerajui jawatan tersebut, setiap bahagian di Perak telah dipastikan mempunyai struktur organisasi yang tersusun dan kukuh.
"Di Perak, semua bahagian telah mempunyai kepimpinan masing-masing, tidak seperti di beberapa negeri lain yang masih belum mempunyai organisasi lengkap di setiap parlimen.
"Saya percaya barisan kepimpinan baharu akan dapat meneruskan usaha ini dengan lebih baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengakui bahawa barisan kepimpinan Bersatu Perak kini menyaksikan lapan ketua bahagian baharu yang mengambil alih tampuk kepimpinan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, peralihan itu berlaku secara tersusun tanpa sebarang perpecahan serius dalam parti.
"Tidak ada pertembungan besar dalam pemilihan ketua bahagian baharu ini kerana kebanyakan mereka adalah pemimpin dalam kalangan jawatankuasa sedia ada, seperti timbalan ketua bahagian yang kini dinaikkan ke jawatan ketua.
"Ini menunjukkan bahawa Bersatu Perak masih dalam keadaan stabil dan bersatu padu,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Zainol Fadzi berkata, Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan pertemuan dengan Pas bagi merangka strategi terbaik.
Menurutnya, gerak kerja di peringkat akar umbi juga telah digerakkan dengan pembahagian kawasan di bawah tanggungjawab pemimpin tertentu.
"Kita turun padang setiap hari untuk memastikan jentera parti bersedia menghadapi PRK ini. Kita juga melantik pemimpin di setiap zon untuk berperanan sebagai ‘bapa angkat’ bagi kawasan yang diberikan.
"Bersatu Bahagian Pasir Salak contohnya diberikan tugas menjaga PDM (Pusat Daerah Mengundi) Tanjung Keramat,” katanya.
Terdahulu hantaran beberapa pimpinan Bersatu Perak melalui Facebook masing-masing menarik perhatian apabila beberapa muka baharu dilantik ke dalam organisasi Bersatu negeri termasuklah Nadziruddin yang menggantikan Zainol Fadzi.
Selain jawatan setiausaha, Bendahari Bersatu Perak juga tampil dengan muka baharu apabila Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Barat, Mohammad Iskandar Abdul Rahman dilantik ke jawatan tersebut.
Bagaimanapun jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Bersatu Perak kekal masing-masing diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Mohader Ahmad Mohammad Ayob.