SHAH ALAM -"YB, tolong jaga cucu saya.” Itulah rayuan penuh hiba seorang nenek berusia 83 tahun kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong demi masa depan cucunya, Wan En yang kini yatim piatu.
Difahamkan, Wan En kehilangan ibunya secara tiba-tiba ketika berusia sembilan tahun di mana ketika itu dia masih belum memahami keadaan yang berlaku.
Bagai jatuh ditimpa tangga, ketika masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina, remaja itu sekali lagi diduga dengan ayahnya yang meninggal dunia akibat serangan jantung, menjadikannya sebatang kara pada usia 15 tahun.
Steven berkata, menurut nenek Wan En, dia jarang menangis di hadapan orang lain tetapi setiap malam akan menangis sendirian di dalam bilik.
"Kini, mereka berdua bergantung kepada simpanan hari tua nenek untuk kelangsungan hidup.
"Setiap hari, neneknya akan memberikan RM5 kepada Wan En untuk perbelanjaan sekolah, namun remaja itu hanya membelanjakan RM2.50 dan menyimpan selebihnya untuk membeli makanan buat nenek.
"Tidak cukup itu, Wan En juga bekerja sambilan di sebauh gerai makanan dan memperoleh RM20 sehari dimana semuanya diserahkan kepada neneknya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Steven, kisah Wan En menanggung pelbagai ujian di usia muda cukup menghibakan namun dia tetap mengutamakan neneknya dalam setiap perkara yang dilakukan.
Kisah menyayat hati remaja ini juga, menyebabkan Steven mengambil Wan En sebagai anak angkat dengan menyediakan elaun bulanan supaya dirinya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.
"Saya juga hulurkan RM10,000 kepada nenek dan berpesan jagan risau. Selagi saya ada, akan ada makanan atas meja mereka.
"Masa melawat mereka tempoh hari, saya ternampak beberapa cawan mi segera, rupa-rupaya itulah makanan yang mereka ulang makan,” katanya lagi.
Menyedari minat Wan En dalam sukan bola kerajang, Steven turut memaklumkan akan membelikan bola sukan itu sebagai hadiah buat remaja berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan, agar mendapatkan bantuan jika menghadapi kesusahan kerana kerajaan akan segera membantu tanpa mengira bangsa dan agama.
"Saya faham pada usia muda seperti ini, Wan En memerlukan figura seorang ayah untuk membimbingnya.. Saya akan cuba yang terbaik.
"Kisah dirinya juga benar-benar buat saya ingat kembali kenapa saya melangkah ke dalam dunia politik. Misi saya hanya satu iaitu untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.