BN tidak berdepan masalah pilih calon PRK Ayer Kuning - Zambry

Iklan
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berucap pada majlis ‘Kembara Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025’ di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad. Foto Bernama

GEORGETOWN - Barisan Nasional (BN) tidak berdepan masalah untuk mendapatkan calon tepat yang berkelayakan bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah melakukan penilaian sewajarnya dalam soal pemilihan calon.

Iklan
Iklan

Menurutnya, BN kini sedang meneliti senarai pendek calon yang berpotensi untuk dikemukakan pada PRK Ayer Kuning itu nanti.

"Kita telah mula melihat dari segi calon-calon yang berkelayakan pada asasnya...saya boleh sebutkan di sini BN tidak mempunyai masalah dari segi mencari calon yang sesuai kerana terdapat beberapa calon yang berkelayakan untuk kita tampilkan.

Iklan

"Kita membuat penilaian bukan hanya pada satu sudut tetapi kita membuat penilaian keseluruhannya dan memilih mereka yang boleh bekerja dan sering kali disebutkan oleh presiden iaitu mereka yang ada kualitinya sekaligus boleh menang dalam PRK itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini pada Ahad.

Zambry menuangkan nasi kepada salah seorang mahasiswa USM yang mengambil bahagian dalam Program Kembara Ramadan KPT, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, calon yang akan dipilih kelak pastinya calon yang boleh bekerja, diterima masyarakat seterus dapat memberi sumbangan kepada masyarakat seperti mana khidmat bekas penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Ishsam Shahrudddin.

Iklan

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Pada 7 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Ini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Neggiri dan DUN Mahkota, Johor.