KPT pantau keadaan empat pelajar Malaysia di Jordan

Iklan
Zambry menyantuni mahasiswa USM yang turut sama dalam majlis berbuka puasa sempena Program Kembara Ramadan KPT 2025, pada Ahad.

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memantau rapi keadaan empat pelajar Malaysia di Universiti Mu’tah, Jordan, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara itu pada Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya telah menerima laporan awal mengenai keadaan empat pelajar tersebut yang mengalami kecederaan, dengan seorang daripadanya memerlukan perhatian rapi akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

"Saya telah menerima laporan awal tentang keadaan empat pelajar kita daripada pihak Education Malaysia Jordan (EMJ). Malah, pihak EMJ sedang memantau keadaan mereka dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

"Jadi, marilah kita bersama-sama mendoakan agar mereka semua selamat serta kembali sihat dan pulih seperti sediakala,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan bahawa empat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, dengan salah seorang daripada mereka dilaporkan kritikal.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah, Muhammad Ammar Baihaqi Sayuti.

Iklan

Menurutnya, seorang pelajar tahun kedua jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan iaitu Fatimah Nuha, kini sedang menerima rawatan rapi.

"Berdasarkan makluman daripada doktor, Fatimah mengalami tiga tulang rusuk patah serta pendarahan serius di bahagian otak dan organ dalaman,” katanya.

Difahamkan, Fatimah terpaksa dipindahkan ke hospital lain berikutan kekurangan pakar bagi merawatnya di Mu’tah.

Sementara itu, tiga lagi pelajar yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin, Muhammad Ilham Dzurllkanian Zulkarnain, dan Sumayya Azamuddin.

Muhammad Zaqwan dan Muhammad Ilham, yang merupakan pelajar tahun pertama jurusan Fiqh Wal Usul, mengalami trauma serta keretakan pada bahagian tulang belakang.

Sumayya, yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan sama, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.