Mustapha Sakmud intai DUN Tempasuk, sedia bertanding PRN17

Iklan
Mustapha (tengah) ketika sidang akhbar PKR Sabah di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan minatnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut memberi bayangan salah satu kerusi yang diintainya adalah di bawah Parlimen Kota Belud iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.

Iklan
Iklan

"Ya, ada juga berminat (bertanding), saya cuba risik-risik. Tapi pada masa sama saya minta pihak 'special branch' dan juga pengkaji-pengkaji lain untuk merisik sama ada saya boleh menang atau tidak.

"Ya, antaranya (Tempasuk)," katanya berseloroh dalam sidang akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah ketika menjawab soalan pemberita berhubung terdapat khabar angin mengenai DUN yang diintai untuk bertanding nanti.

Iklan

Bagaimanapun, diminta mengulas jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga berhasrat untuk mengekalkan kerusi mereka yang kini disandang Datuk Arsad Bistari, Ahli Parlimen Sepanggar itu melihat ia adalah perkara biasa untuk sesiapa diumumkan sebagai calon.

"Itu biasa (jika mereka umum kekalkan), saya juga boleh umumkan (contoh) kita akan bertanding di DUN Api-Api dan calonnya adalah Datuk Christina Liew dan sama juga Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kalau kerusi itu selepas berunding menjadi milik mereka.

Iklan

"Tapi kalau setelah kita berunding dengan mengatakan beri kepada PKR, jadi PKR pun ada calon dan mungkin saya antara calonnya dan mungkin ada lagi yang lain.

"Jadi itu hak, saya rasa sama juga yang berlaku di Tanjung Keramat apabila Pengerusi Perhubungan UMNO mengumumkan calonnya, jadi kita hormati keputusan menamakan calon oleh parti-parti ini dan itu pandangan mereka," katanya.

Namun, beliau pada masa sama berpandangan, kalau pimpinan parti tidak mendedahkan nama calon mereka lebih awal sebelum kerjasama dilakukan itu mungkin lebih baik bagi mengelak daripada berlaku salah faham.

"Sebab kalau tidak ia akan mewujudkan pergeseran yang tidak diingini tetapi kita tidak menghalang dan dari pihak kita, disiplin kita penting di mana Datuk Christina turut menasihatkan untuk menjaga integriti kita.

"Kita tidak akan umumkan tanpa rundingan dilakukan sebab itu prosesnya, itu kita kena fahami. Kalau mahu bekerjasama dengan mana-mana seperti kami di Pakatan Harapan (PH) kita hargai dan alu-alukan, jadi dalam proses tidak perlu ada pengumuman calon kerana ia mungkin akan menutup ruang kerjasama," katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat ia adalah asas dalam bekerjasama dengan saling memahami antara kedua-dua pihak.