CHENNAI – Pelakon terkenal Tamil, Thalapathy Vijay, baru-baru ini menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa yang penuh bermakna di Chennai.
Majlis tersebut diadakan pada Jumaat lalu di padang YMCA Royapettah dan dihadiri lebih 3,000 orang, termasuk imam-imam dari 15 masjid sekitar Chennai.
Vijay hadir mengenakan pakaian tradisional putih dan kopiah semasa majlis tersebut. Beliau turut bersama-sama tetamu lain berbuka puasa.
Menurut laporan media India, pelakon tersebut dipercayai turut berpuasa sepanjang bulan suci Ramadan.
Tindakan Vijay yang turut serta dalam majlis berbuka puasa bersama umat Islam mendapat pujian meluas di media sosial terutama daripada peminatnya. Ramai netizen memuji sikap rendah hati beliau yang menghargai dan meraikan tradisi serta budaya berbeza.
Tindakan beliau ini turut tular di media sosial, dan ramai yang melihatnya sebagai satu langkah positif dalam menyemai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang agama dan budaya. – Agensi