SHAH ALAM - Lebih 40,000 peluang kerja ditawarkan dalam program Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor ke sembilan daerah bermula pada April, kata EXCO sumber manusia.
V Papparaidu memberitahu penganjuran yang memasuki tahun keempat itu menawarkan peluang kerjaya pelbagai sektor meliputi perkhidmatan, pemasaran, kesihatan dan pengangkutan.
"Kerajaan Selangor menggalakkan pencari kerja memanfaatkan inisiatif ini bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan pada 28 Februari.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ketua Penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor Pavithra Mohanadas melalui talian 011-33311148
Berikut tarikh dan lokasi JobCare:
Gombak (19 April – Dewan Seri Siantan Selayang)
Petaling (24 Mei – Dewan Serbaguna MBPJ SS3)
Kuala Langat (21 Jun – Dewan Sri Jugra)
Hulu Selangor (5 Julai – Dewan Merdeka KKB)
Hulu Langat (19 Julai – Dewan Perbandaran MPAJ)
Klang (27 September – Dewan Hamzah)
Kuala Selangor (9 Ogos – Dewan MPKS Puncak Alam)
Sabak Bernam (11 Oktober – Dewan Tun Razak)
Sepang (15 November – Dewan Komuniti BBST)
Pada asalnya, Jelajah JobCare yang dianjur sejak 2022 antara inisiatif pentadbiran negeri bagi membantu golongan berkemahiran yang hilang pendapatan kesan pasca Covid-19.
Papparaidu menjelaskan Kerajaan Selangor turut merancang untuk menganjurkan program Karnival Kerjaya Khas yang melibatkan penyertaan kira-kira 40 syarikat dari sektor awam dan swasta.
Yang berminat bekerja dalam sektor awam pula disaran mendaftar melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia www.spa.gov.my atau layari portal negeri www.selangor.gov.my.
Orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat padanan kerja yang disediakan Kementerian Sumber Manusia melalui www.myfuturejobs.gov.my.
Selain itu, Papparaidu memaklumkan seramai 2,465 daripada 2,530 individu di Selangor kembali bekerja setakat 14 Februari lalu.
Beliau juga memberitahu terdapat 49,526 kekosongan jawatan di Selangor dengan 5,437 pencari kerja berdasarkan laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial.
"Penempatan pekerjaan semula menunjukkan kejayaan signifikan iaitu 2,465 individu ditempatkan dalam pekerjaan baharu. Ini mencerminkan adanya peluang besar dalam pasaran kerja di Selangor," katanya