PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Beliau membuat pengumuman itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Pasir Gudang di sini pada Ahad.
Menurut Hassan, keputusan itu dibuat atas faktor usia selain mahu memberi peluang kepada pemimpin baharu meneruskan perjuangan parti.
"Saya sudah membuat pengumuman secara terbuka sebelum ini bahawa saya tidak bertanding dalam pemilihan PKR pada Mei nanti.
"Hari ini saya tegaskan sekali lagi bahawa saya juga tidak akan bertanding dalam PRU16 akan datang kerana umur saya sudah lanjut. Saya mahu membuka ruang dan peluang kepada pemimpin yang lebih muda untuk mengambil alih," katanya.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor merupakan antara pemimpin yang terlibat secara langsung dalam gerakan reformasi sejak 1998.
Pada PRU15, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi itu dan menjadi wakil rakyat Pasir Gudang untuk penggal kedua.
Hassan turut mengimbas kembali perjalanan panjang PKR di Pasir Gudang yang menurutnya bukan satu laluan mudah, malah parti itu berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekalahan sebelum akhirnya meraih kemenangan.
"Parlimen Pasir Gudang mula wujud pada PRU11 tahun 2004. Ketika itu, PKR bertanding tetapi kalah. Pada PRU12 dan PRU13, kita bertanding lagi dan tetap kalah.
"Tetapi para anggota, penyokong serta kepimpinan Cabang PKR Pasir Gudang tidak pernah berputus asa. Hasilnya, pada PRU14 dan PRU15, PKR berjaya menang di Parlimen Pasir Gudang," katanya.
Dalam ucapannya, Hassan turut mengingatkan jentera parti agar bekerja keras bagi memastikan PKR terus menang di Parlimen Pasir Gudang pada PRU16.
Katanya, kemenangan parti di kawasan itu amat penting bagi memastikan PKR terus menjadi tulang belakang kepada kerajaan.
"Cabaran besar menanti parti menjelang PRU akan datang. Kita perlu memastikan kemenangan PKR sekali lagi di Pasir Gudang supaya parti terus kukuh dan dapat meneruskan agenda reformasi di peringkat nasional," katanya.
Selain itu, Hassan turut menyuarakan rasa kecewa terhadap pindaan sistem pemilihan kepimpinan PKR yang kini menggunakan sistem undi perwakilan berbanding kaedah ‘satu anggota, satu undi’ sebelum ini.
Menurutnya, perubahan itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam parti kerana sebelum ini setiap anggota di peringkat akar umbi mempunyai hak untuk memilih pemimpin utama parti secara langsung.
"Saya gembira kerana pemilihan di peringkat cabang masih dilakukan secara demokratis, tetapi saya berdukacita apabila pemilihan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat PKR termasuk pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden tidak lagi menggunakan sistem undian terus dari anggota.
"Tetapi apa yang boleh dibuat kerana Kongres Khas telah membuat keputusannya. Sebagai seorang anggota Parti saya akur terhadap keputusan itu dan tidak mahu melanjutkannya lagi sehingga disebut pula rumah siap pahat berbunyi," katanya.
Dalam pada itu, Hassan turut menyentuh kedudukan PKR sebagai tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, parti itu berdepan cabaran besar dalam memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan dengan baik kerana perlu bersekutu dengan parti-parti yang sebelum ini terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.
"PKR perlu bijak dalam menentukan hala tuju perjuangannya dalam menghadapi PRU16. Imej PKR sebagai parti reformasi mesti dipertahankan dan tidak boleh terjejas hanya kerana kita berada dalam kerajaan bersama pihak lain yang mempunyai sejarah berbeza dengan kita," katanya.
Mengakhiri ucapannya, Hassan berharap agar kepimpinan baharu Cabang PKR Pasir Gudang yang akan dipilih dalam mesyuarat kali ini dapat meneruskan perjuangan dan memastikan kemenangan parti dalam PRU akan datang," ujarnya.