Wanita MCA lancar petisyen kesetaraan gender, kemuka 10 tuntutan

Iklan
You Fong (tengah, kanan) ketika majlis menandatangani petisyen pada Sabtu. Kredit Facebook Wanita MCA.

SHAH ALAM - Wanita MCA melancarkan petisyen keseteraan gender iaitu kesedaran tentang diskriminasi dan ketidakadilan terhadap wanita sempena ulang tahun ke-30 Malaysia menandatangani Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Pengerusi Wanita MCA, Datuk Wong You Fong berkata, pihaknya turut mengemukakan 10 tuntutan dari segi pembaharuan dasar dan perundangan kepada kerajaan agar wanita di negara ini mendapat hak sewajarnya.

Iklan
Iklan

Menurut peguam itu, tuntutan dimaksudkan adalah menghapuskan penukaran agama sepihak kanak-kanak, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Diskriminasi Terhadap Wanita, menambahbaik daftar pesalah seksual, menjenayahkan rogol dalam perkahwinan dan menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.

"Selain itu, menambahbaik penguatkuasaan perintah nafkah, memperluas akses kepada penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik, mempertingkatkan penyertaan wanita dalam politik, meluluskan RUU Profesion Kerja Sosial serta memperketatkan undang-undang mengenai keganasan berasaskan gender.

Iklan

You Fong.

"Pertama sekali saya ingin menyampaikan ucapan selamat dan penghargaan tulus kepada semua wanita di Malaysia. Sejak merdeka, mereka menghadapi pelbagai cabaran dalam perjuangan mendapatkan hak sama rata.

Iklan

"Namun, diskriminasi gender dan layanan tidak adil masih wujud dalam bidang pekerjaan, institusi keluarga mahupun masyarakat, malah sistem perundangan yang terus menghalang kemajuan hak wanita. Justeru, kami melancarkan petisyen dan menuntut pembaharuan dasar bagi memastikan golongan ini mendapat hak sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hari Wanita Antarabangsa disambut setiap 8 Mac dan tema tahun ini adalah 'Tindakan Dipercepatkan' yang mencerminkan aspirasi kaum Hawa mesti bertindak pantas serta maju ke hadapan.

You Fong memaklumkan, masih ramai mangsa gangguan seksual memilih untuk berdiam diri atau mengelak daripada melaporkan kes sama ada di tempat kerja, dalam masyarakat atau di tempat awam.

Lebih membimbangkan, katanya, mangsa serangan seksual ada kalanya enggan membuat laporan polis kerana takut atau malu, termasuk isteri yang menjadi mangsa rogol suaminya sendiri.

"Adakah situasi ini mencerminkan kelemahan kita sebagai negara yang telah menandatangani CEDAW selama 30 tahun, tetapi gagal melindungi wanita? Masih banyak jurang dalam perundangan dan dasar yang menghalang perlindungan penuh.

"Kita perlu segera melaksanakan reformasi untuk memastikan wanita mendapat hak yang saksama. Wanita MCA komited untuk memperjuangkan reformasi undang-undang demi keadilan dan maruah semua wanita di negara ini," ujar beliau.