BESTARI JAYA – Seekor buaya tembaga dipercayai tersesat dari Sungai Selangor berjaya ditangkap di sebuah lombong tinggal di Ladang Sungai Tinggi, di sini pada Sabtu.
Buaya sepanjang 2.4 meter dan seberat 46.8 kilogram itu berjaya ditangkap selepas lebih dua minggu operasi pemantauan dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran reptilia itu pada 20 Februari lalu sebelum siasatan dijalankan.
"Hasil pemantauan malam menggunakan teknik penyuluhan mata mengesahkan kehadiran seekor buaya di kawasan lombong yang terletak kira-kira 150 meter dari Sungai Selangor.
"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat aliran air yang menghubungkan lombong dengan sungai, menyebabkan haiwan itu dipercayai tersesat ke lokasi terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, perangkap khas dipasang pada 21 Februari dengan pemantauan berkala dilakukan bagi memastikan keberkesanan operasi.
"Bagaimanapun, beberapa jenis umpan termasuk daging ayam yang digunakan pada peringkat awal gagal menarik perhatian reptilia itu.
"Selepas hampir 15 hari pemantauan, buaya berkenaan akhirnya berjaya ditangkap sekitar jam 10.15 pagi menggunakan umpan itik hidup," katanya.
Beliau berkata, buaya jantan itu kemudiannya dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil untuk pemantauan dan penjagaan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan kehadiran hidupan liar di kawasan air dan segera melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
"Sebarang maklumat mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui hotline 1-800-88-5151 atau laman web www.wildlife.gov.my," katanya.