KUANTAN – Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa selepas membeli kuih Puteri Ayu yang sudah basi di Bazar Taman Tas, yang dibelinya khas untuk ibunya.
Pekerja swasta, Nurul Syazwani Rozi, 25, mengakui tidak memeriksa keadaan kuih tersebut sebelum membayar kepada peniaga.
"Sebaik sahaja ibu membuka bungkusan, kelapa masam, manakala apamnya keras. Saya percaya kuih yang dijual bukan dibuat pada hari yang sama.
"Saya benar-benar kecewa kerana membelinya khas untuk ibu, tetapi malangnya tidak boleh dimakan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Terdahulu, kisah ini tular di media sosial selepas pengguna Facebook berkongsi pengalaman kecewa membeli kuih Puteri Ayu di bazar Ramadan pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Nurul Syazwani menegaskan, dia tidak berniat untuk memperbesarkan isu ini, tetapi merasakan peniaga perlu ditegur agar tidak mengulangi kesilapan sama kerana boleh menjejaskan pelanggan lain.
"Saya rasa perlu maklumkan kepada peniaga supaya perkara ini tidak berulang.
"Kasihan pelanggan lain jika mengalami situasi yang sama," ujarnya.
Dia turut menasihati peniaga supaya lebih ikhlas dalam perniagaan dan tidak menjual kuih yang sudah tidak segar kepada pelanggan.
"Jika kuih itu tidak habis, lebih baik disedekahkan ke masjid atau diberikan kepada jiran-jiran, bukannya dijual semula kepada pelanggan," tambahnya.