SHAH ALAM - Bengkel ‘Menulis Sampai Jadi Novel’ menjadi solusi kepada penulis yang menghadapi kesukaran menyiapkan karya, membantu mereka mendapatkan semula idea untuk meneruskan penulisan novel yang ingin diterbitkan.
Penulis buku merangkap bekas Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed berkata, objektif bengkel tersebut adalah untuk membantu para penulis mencungkil semula idea atau karya yang pernah terhenti dan sukar memulakannya kembali.
"Bengkel ini merupakan kali ketiga selepas pertamanya telah dijalankan di Bangi, kedua di Johor Bahru dan ketiga Karangkraf yang menjemput saya untuk datang di sini.
"Saya tidak nafikan ada sebahagian daripada peserta atau penulis yang sudah ada novel tapi tidak dapat buat novel yang seterusnya, ada juga yang ideanya sangkut, ada yang penulis baharu tapi tak tahu nak mula daripada mana dan ada juga yang menulis setengah jalan sahaja.
"Jadi bila mereka datang sini, mereka boleh faham teknik penulisan dan akan mendapat semangat baharu untuk menulis. Objektif saya dan apa yang disampaikan kepada mereka adalah, saya harap mereka dapat tulis sebuah buku dalam tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai karya terbaharunya, ‘Panduan Menulis Sampai Jadi Sebuah Novel’, Norden berkata, buku tersebut boleh membantu para penulis belajar mengenai teknik dan tips yang penting apabila menulis.
"Ia bukan seperti novel biasa yang kena baca daripada awal, penulis atau pembaca itu sendiri boleh pilih bab mana mereka nak baca. Buku ini saya ambil lebih kurang tiga tahun untuk siapkan sepenuhnya dan pembacaannya amat santai.
"Bukan sahaja penulis boleh baca, malah orang biasa pun boleh membaca. Daripada sini mereka akan tahu bagaimana seorang penulis berfikir. Dalam buku ini juga saya ada kupas teknik betul yang diperlukan seorang penulis sebab kita tahu penulis ialah kreatif,” ujarnya.
Beliau juga berharap karyanya itu dapat membantu para penulis menghasilkan buku baharu kerana yakin ia dapat memberikan idea, semangat, pandangan berbeza kepada sesiapa yang membaca.
Menurut Norden yang turut mengulas berkenaan teknologi dalam penulisan, beliau berpendapat penulis tidak perlu menolak penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebaliknya menggunakan ia sebagai platform untuk mengupas idea baharu.
Sementara itu, penulis baharu, Hidayah Naqiah Abd Rani, 37, berkata, kehadirannya di bengkel tersebut memberi motivasi untuk menyiapkan karya pertamanya pada tahun ini.
"Apa yang beliau katakan hari ini memang menyuntik semangat saya untuk siapkan novel baharu...saya ingat apa yang beliau sampaikan semasa di awal bengkel ini, beliau cakap ia fardu kifayah.
"Penulis adalah orang yang terpilih, panggilan daripada ALLAH SWT untuk menulis, jadi takkan lah kita nak menidakkan panggilan ini? Alhamdulillah saya juga dah nampak tekniknya dan insya-ALLAH, saya akan buktikan pada diri sendiri untuk hantar manuskrip pertama saya pada tahun ini,” katanya.