GEORGE TOWN - Islam menekankan kepentingan sikap hormat menghormati antara penganut agama bagi memastikan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini terus terpelihara.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, prinsip itu jelas terkandung dalam firman ALLAH SWT di dalam surah Al-Kafirun (untukmu agamamu dan untukku agamaku).
Menurutnya, menghormati agama lain bermaksud tidak menghina, memperlekeh atau menyinggung kepercayaan mereka manakala penganut bukan Islam juga perlu sensitif terhadap perkara yang boleh menyinggung perasaan umat Islam.
"Sikap saling menghormati adalah asas perpaduan dan kestabilan sosial. Tidak terlibat dalam ritual ibadah agama lain tidak bermakna kita tidak menghormati mereka.
"Sebaliknya, kita perlu menghormati hak mereka untuk beribadah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau menambah, Islam juga mengajar umatnya supaya menunjukkan akhlak mulia seperti jujur, adil dan bertoleransi dalam interaksi harian, seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
"Mencerca agama lain adalah dilarang dalam Islam, seperti firman ALLAH dalam Surah al-An’am ayat 108 (Dan janganlah kamu mencerca sembahan-sembahan yang mereka sembah selain ALLAH, kerana mereka nanti akan mencerca ALLAH dengan melampaui batas tanpa ilmu)," katanya.
Mohd Sukki turut menekankan peranan penting pemimpin dalam memastikan isu-isu berkaitan agama ditangani secara adil dan saksama.
"Pemimpin mesti menggalakkan dialog antara agama bagi mengurangkan salah faham dan memperkukuhkan perpaduan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengamal media agar lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu agama dengan tidak mensensasikan berita sehingga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
"Penyebaran berita palsu dan provokasi agama hanya akan memburukkan keadaan.
"Oleh itu, masyarakat juga perlu berhati-hati dalam menggunakan media sosial dan tidak berkongsi perkara yang boleh menimbulkan persengketaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi memastikan kesejahteraan masyarakat, beliau mencadangkan pendekatan pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang dalam menangani isu-isu berkaitan hubungan antara agama.
"Pendidikan dan kesedaran tentang kepelbagaian agama perlu diperluaskan agar masyarakat lebih memahami dan tidak mudah tersinggung dengan perbezaan.
"Dialog dan komunikasi yang berhemah harus menjadi keutamaan sekiranya berlaku salah faham, selain tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang sengaja mencetuskan provokasi agama.
"Islam tidak mengajar umatnya untuk memusuhi penganut agama lain, sebaliknya menuntut kita menghormati mereka selagi mereka tidak menzalimi kita. Namun, pada masa yang sama, umat Islam perlu tegas dalam menjaga akidah dan tidak berkompromi dengan perkara yang bercanggah dengan prinsip Islam,” katanya.