KOTA KINABALU – Seramai 55 penghuni diminta mengosongkan bilik sewa dan diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku susulan kejadian runtuhan lantai simen di bangunan kedai di Jalan Segama, di sini pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, arahan itu sebagai langkah keselamatan di mana di tingkat dua dan tiga bangunan tersebut dijadikan sebagai bilik sewa.
"Bilik sewa itu didiami 55 penghuni dan telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Sebuah PPS telah dibuka di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu untuk menempatkan penghuni yang terjejas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau dalam pada itu memaklumkan terdapat seorang mangsa cedera dalam kejadian runtuhan tersebut yang menghempap sebuah restoran di bangunan berkenaan.
"Pasukan penyelamat telah menemui seorang mangsa wanita warga China berusia 55 tahun yang mengalami kecederaan patah kaki sebelah kiri akibat insiden tersebut dan mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut," katanya.
Kasim berkata, ketika ini seramai enam anggota polis dari Balai Polis Kota Kinabalu telah ditempatkan di lokasi kejadian untuk menjaga dan mengawal kawasan tersebut.
"Pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan tiada risiko tambahan kepada orang awam," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang wanita parah akibat ditimpa runtuhan simen di sebuah restoran selepas lantai tingkat satu bangunan tersebut runtuh.