SHAH ALAM - Pengunjung Iftar Ala Madinah @Karangkraf berpeluang untuk membawa pulang wang tunai selepas berbuka puasa, sekiranya berjaya meneka nilai yang terkumpul dalam kotak menerusi peraduan Teka dan Menang Duit Raya.
Eksekutif Kanan Pemasaran Sinar Harian, Hazwan Shaharuddin berkata, peraduan itu merupakan antara inisiatif baharu diperkenalkan tahun ini bagi memberikan kelainan, di samping menghargai pengunjung yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap program anjuran Karangkraf.
Menurutnya, pengunjung hanya perlu meneka jumlah wang kertas RM1 yang berselerakan dalam kotak dan tekaan paling tepat akan membawa pulang duit berkenaan.
"Cara penyertaannya amat mudah, hanya perlu memuat naik video Iftar Ala Madinah @Karangkraf di TikTok atau Instagram berserta jawapan di ruangan kapsyen serta gunakan hashtag #IftaralaMadinahKarangkraf dan #TekaSinarHarian."Jangan lupa tag dan follow akaun media sosial @sinarharian, pastikan akaun dalam mod public. Kru akan umumkan pemenang selepas berbuka puasa.
"Sekiranya pengunjung gagal teka dengan tepat, nilai wang terkumpul akan bertambah dan dibawa ke hari seterusnya, sehinggalah kita dapat pemenang bertuah,” katanya ketika ditemui di Dataran Karangkraf di sini.
Iftar Ala Madinah @Karangkraf berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini dan terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali Sabtu, Ahad serta cuti umum.
Berdasarkan sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya, program itu sekali lagi memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman seperti berbuka puasa di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam dan masyarakat setempat.
Justeru, orang ramai yang berminat untuk hadir diingatkan supaya mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari melalui imbasan kod respons pantas (QR) di laman web rasmi Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.
Dalam pada itu, sekiranya orang ramai ingin membantu menambah baik kemudahan demi keselesaan, membeli kelengkapan berbuka atau tambahan makanan, boleh menyalurkannya ke Tabung Infaq Iftar menerusi akaun Maybank bernombor 564276529068 (Maybank-Sinar Karangkraf Sdn Bhd).