KUALA LUMPUR – Kegiatan seludup barangan ubatan, jamu, makanan dan minuman dari negara jiran melalui jalan laut dikesan dilakukan dengan kaedah 'menumpang' aktiviti penyeludupan lain termasuklah dibawa masuk oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).
Itu antara modus operandi penyeludupan yang dikesan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di perairan negara.
Namun, ada juga antara tindakan penguatkuasaan, serbuan dan rampasan dilakukan oleh PPM ke atas premis perniagaan serta stor di pesisiran pantai, pulau dan sungai.
Berdasarkan maklumat diperoleh PPM, ejen atau individu dalam negara akan membuat tempahan kepada jaringannya di negara luar berkaitan untuk membawa masuk barang tersebut tanpa melalui saluran sah.
Kemudian, penyeludupan barang akan dihantar dengan kaedah ‘menumpang’ bot penyeludup lain.
Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, berdasarkan statistik direkodkan dalam tempoh lima tahun bermula 2020, sebanyak 844 kes direkodkan dengan nilai rampasan mencecah RM25.6 juta.
Menurut beliau, barangan tersebut termasuk minuman keras, beras, makanan segera dan daging sejuk beku dan alat kosmetik.
"Kita juga mendapati pil kurus, minyak urut, ubat kuat, pil perangsang, serum, susu bayi, sabun, minuman berjenama, kopi dan mi segera turut diseludup masuk.
"Apabila pemeriksaan dibuat oleh anggota operasi, barang ubatan didapati tiada pengesahan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Sinar Harian di Bukit Aman, baru-baru ini.
Jelas beliau, penyeludupan itu berlaku kerana terdapat permintaan tinggi dari warga negara asing yang berada di Malaysia.
Jelas Shamsol, berdasarkan statistik yang direkodkan, kebanyakan barangan itu dipercayai diseludup masuk dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Myanmar.
"Polis Marin mengesan penyeludupan melalui perairan negara ini menggunakan bot berkelajuan tinggi atau beberapa jenis bot lain dan mengikut rekod kita, tangkapan dibuat terutama di Pantai Barat Semenanjung serta perairan Sabah.
"Bot yang digunakan penyeludup juga boleh masuk sehingga ke paya bakau untuk bersembunyi sementara ketika air pasang dan suspek juga mahir dengan laluan tersebut,” katanya.
Shamsol memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan terhadap penumpang bot turut menemui barang-barang yang tidak diperakui di negara ini.
"Jika ada tempahan, sindiket penyeludupan PATI khususnya akan membawa sekali barangan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, kegiatan itu adalah satu bentuk perniagaan dan sudah tentu ada yang mengendalikannya termasuklah yang menunggu, membeli dan menghantar.
"Kita lihat perkara ini meningkat apabila ada permintaan dan sudah tentu ada ejen-ejen yang menggerakkan,” katanya.
Dedah beliau, PPM percaya barangan yang tiba secara haram itu kemudian akan dipunggah masuk ke dalam kenderaan seperti kereta dan van sebelum dihantar kepada pihak pembeli.
"Barang-barang ini akan dijual di kaki lima bangunan kedai, pasar malam dan kedai runcit.
"Jika kawasan itu ramai komuniti dari negara berkenaan, di situlah barangan tersebut banyak dijual tetapi kita juga percaya, ada beberapa barang ini turut dibeli dan dibawa masuk oleh warga tempatan,” katanya.
Lokasi hotspot
Tanpa mendedahkan secara tepat lokasi hotspot penyeludupan atas faktor keselamatan, menurut Shamsol, lokasi itu kebiasaannya jauh dari kawasan pantai atau kawasan perbandaran.
"Bot kecil akan menghampiri kawasan ini untuk melakukan pendaratan kerana penyeludup beranggapan lokasi tersebut jarang dipantau pihak berkuasa.
"Selain itu, beberapa kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) atau selat utama seperti Selat Melaka dan Selat Sulu di Sabah sering menjadi laluan penyeludupan kerana ia laluan kapal perdagangan utama yang sibuk.
"Keadaan itu memberi peluang kepada penyeludup bersembunyi dalam kesibukan trafik laut, sekali gus boleh mengelak dikesan radar atau pengawasan satelit serta rondaan pihak berkuasa,” katanya.
Shamsol berkata, pulau-pulau kecil atau kawasan pesisir pantai yang kurang dihuni juga sering digunakan untuk menyembunyikan barang seludup.
Menurutnya, kawasan dengan sempadan antarabangsa juga dikenal pasti antara lokasi tumpuan penyeludupan.
"Banyak faktor mendorong kegiatan penyeludupan barangan sebegini seperti permintaan tinggi di pasaran, harga murah dan dapat untung berlipat ganda,” ujarnya.
Kerjasama agensi
Shamsol menegaskan, PPM sentiasa meningkatkan kawalan untuk keselamatan di perairan negara.
Menurutnya, rampasan ubatan dan jamu yang dilakukan akan diserahkan kepada KKM untuk tindakan dari segi keselamatan penggunaan barang tersebut.
"PPM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti KKM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Kami juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta Lembaga Kawal Selia Padi dan Beras untuk mengekang aktiviti penyeludupan ini,” katanya.
Jelas beliau, PPM sentiasa mengatur gerak bot-bot ronda pasukan untuk melaksanakan kawalan keselamatan dan rondaan di sepanjang perairan Malaysia, selain menguatkuasakan semua undang-undang berkaitan jenayah rentas sempadan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa melaksanakan tugas.
Kekangan aset dan sumber manusia
Menurutnya, pemantauan dan operasi juga diperkasakan walaupun pada musim perayaan.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi, Shamsol berkata, cabaran adalah dari segi kekangan aset dan kekuatan sumber manusia.
"Namun, segala elemen operasi yang ada tetap digembleng untuk melaksanakan rondaan dan pemeriksaan tanpa mengira masa dan keadaan.
"Selain itu, perubahan semasa yang semakin pantas dalam konteks teknologi juga adalah cabaran perlu dihadapi semua pihak bagi memastikan pasukan keselamatan sentiasa berada beberapa langkah di depan,” katanya.
Tegas beliau, kegiatan penyeludupan menjejaskan keselamatan dan merugikan negara dalam konteks pendapatan cukai barang yang diseludup.
"Kita percaya faktor permintaan menjadi sebab aktiviti penyeludupan ini sering berlaku terutama minuman keras dan beras.
"Justeru, Pasukan Polis Marin tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan ini dan mereka yang terlibat mahu pun bersekongkol akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pasukan Polis Marin lakukan rampasan lebih RM1.2 bilion
PASUKAN Polis Marin (PPM) merekodkan rampasan mencecah RM1.23 bilion sejak 2019.
Statistik setakat tahun lalu telah merekodkan 38,123 kes atas pelbagai kejayaan menerusi operasi, serbuan dan pemeriksaan.
Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pelbagai tindakan di bawah undang-undang negara telah direkodkan, antaranya pembanterasan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Perikanan 1985 serta Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).
"Kesalahan di perairan Malaysia dalam beberapa tahun ini dilaporkan meningkat.
"Walaupun dengan jumlah kekuatan dan aset sama tetapi keupayaan kita digembleng PPM berjaya secara konsisten memerangi jenayah rentas sempadan serta pelbagai kesalahan maritim lain.
"Jadi, saya kira pencapaian ini agak tinggi bagi sebuah pasukan yang memiliki kekuatan 2,400 anggota di seluruh negara,” katanya.
Jelas beliau, antara kes direkodkan ialah penyeludupan dadah dan barang bersubsidi seperti petrol, beras serta barang keperluan harian, rokok dan minuman keras, PATI, pembalakan haram, hidupan liar, mercun serta pencerobohan nelayan asing dan aktiviti perikanan tidak mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Perikanan.
"PPM akan sentiasa meningkatkan kejayaan operasi dalam penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan di perairan negara.
"Semua ini dilakukan sebagai langkah proaktif untuk mengekalkan keselamatan perairan negara, menjamin kesejahteraan rakyat dan mengelak kerugian ekonomi negara,” tambah beliau.