KLANG - Polis merampas mercun dan bunga api bernilai RM32.2 juta dalam serbuan sebuah premis gudang di Kapar, di sini, pada Khamis.
Serbuan dilakukan sepasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, Op Taring Charlie itu mendapati mercun dan bunga api itu tidak mempunyai permit.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai bertanggungjawab ke atas premis terbabit telah ditahan.
"Rampasan melibatkan 25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis, sebuah kontena dan lori tiga tan.
"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Op Taring Alpha 1 yang dilaksanakan di Bukit Sentosa, Rawang pada Jumaat berjaya merampas rokok tidak berkastam bernilai RM12.8 juta serta tangkapan seorang lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis serta penghantar barang.
Kata Azmi, rampasan membabitkan 27,100 karton rokok putih, 4,560 karton kretek serta sebuah van.
"Kedua-dua kes ini melibatkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM45.08 juta," ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan, pada tahun ini setakat 7 Mac, JKDNKA menerusi WCB/PSK telah melaksanakan 69 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan 107 individu atas pelbagai kesalahan.
"Antaranya penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar, operasi e-waste dengan nilai mencecah RM370 juta," ujarnya.
Tegasnya, polis menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah demi keselamatan dan kesejahteraan negara.