KUALA LUMPUR - Pas Wilayah Persekutuan menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, untuk mengurangkan peruntukan Bumiputera sebanyak 10 peratus bagi disalurkan kepada bukan Bumiputera sebagai tidak berasas dan tidak selari dengan realiti sosioekonomi negara.
Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya, dalam satu kenyataan pada Isnin menegaskan bahawa hak keistimewaan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi bagi memastikan kestabilan negara.
"Sejarah telah membuktikan bahawa dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan inisiatif lain amat penting dalam membantu Bumiputera mengecilkan jurang ekonomi yang wujud akibat sejarah penjajahan serta ketidakseimbangan ekonomi yang berlarutan sekian lama,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan khas kepada Bumiputera bukanlah satu bentuk diskriminasi terhadap kaum lain, sebaliknya bertujuan mengangkat kedudukan ekonomi Bumiputera agar setanding dengan kaum lain.
"Kaum bukan Bumiputera juga telah menerima pelbagai bentuk bantuan dalam sektor ekonomi, pendidikan, dan peluang perniagaan daripada kerajaan selama ini,” tambahnya.
Menurut Azhar, sebarang tindakan yang menyentuh perkara asas yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial negara hanya akan mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian yang dinikmati selama ini.
"Sebagai seorang pemimpin, Guan Eng sepatutnya lebih bijak dan berpijak di bumi nyata dalam memahami keperluan serta kepentingan semua pihak dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum,” ujarnya lagi.
Pas Wilayah Persekutuan menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertahankan hak dan kepentingan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, sambil memastikan keadilan serta kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.