Salehuddin Saidin dilantik Pengerusi MAIS baharu

Iklan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi, timbalan pengerusi, dan anggota MAIS yang baharu

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi, timbalan pengerusi, dan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu dalam satu majlis di Istana Alam Shah di sini.

Pada majlis berkenaan, Sultan Selangor memperkenankan pelantikan Senator Datuk Salehuddin Saidin sebagai Pengerusi MAIS baharu.

Iklan
Iklan

Turut menerima watikah pelantikan ialah Tan Sri Mazlan Mansor, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIS.

Selain itu, dua anggota MAIS yang baharu, Datuk Emran Kadir dan Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, turut menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Iklan

Majlis turut menyaksikan kehadiran anggota MAIS yang lain, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, serta Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk DR Haniff Zainal Abidin.

Pelantikan anggota MAIS bagi sesi 2024-2026 ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025 hingga 31 Disember 2026, menjadikan keseluruhan anggota MAIS adalah seramai 21 orang dari pelbagai bidang kepakaran.

Iklan

Pelantikan ini dibuat selaras dengan peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, menetapkan MAIS terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi, serta beberapa anggota lain dipilih berdasarkan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk keilmuan Islam.

Menurut Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, pelantikan ini mencerminkan komitmen MAIS dalam mengukuhkan tadbir urus hal ehwal Islam di Selangor serta memastikan kepimpinan berwibawa dalam memacu kemajuan ummah.

"MAIS mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima watikah. Semoga pelantikan ini dapat memperkukuh lagi usaha memartabatkan Islam serta membangunkan masyarakat Islam di Negeri Selangor,” ujarnya.

Menerusi pelantikan ini, MAIS diyakini akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan umat Islam di negeri ini, selaras dengan prinsip syariah dan titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri.