SHAH ALAM - 'Atutu (i love you too)..abah syurga'.
Hanya tiga perkataan, namun cukup menggambarkan kerinduan Muhammad Nur Faez Mansor, 35, terhadap bapanya yang meninggal dunia hampir setahun lalu.
Individu sindrom down yang mesra dipanggil Faez itu dilihat berdoa dan bermonolog di sisi pusara bapanya, Kapten (B) Mansor Ismail, sebelum menyentuh batu nisan arwah dengan penuh lembut.
Momen menyentuh hati itu dirakam kakaknya, Rose Maria, 49, ketika berada di tanah perkuburan beberpaa hari lalu.
"Kalau Faez cakap dia rindu abah, mak akan peluk dia dan sama-sama menangis bersama Faez.
"Mak yang paling faham Faez sebab mak suri rumah sepenuh masa dan berkahwin dengan abah ketika usia 20 tahun," katanya kepada Sinar Harian.
Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas video berkenaan tular di media sosial.
Dalam pada itu Rose Maria memaklumkan, Faez melalui fasa sukar apabila tidak lagi membenarkan sesiapa menyentuhnya, termasuk kakak dan abangnya.
Kini, urusan membawa Faez memotong rambut dan memotong kuku dilakukan adik-beradik atau anak saudara.
"Kami tahu kerinduan Faez pada abah sangat mendalam sebab kami adik-beradik melihat kerinduan mak pada abah.
"Jadi kami selalu fikir, macam mana mak sentiasa bersama abah, begitu juga Faez.
"Sebab itu kami sekeluarga kerap bawa Faez ke kubur abah. Itu salah satu cara kami bantu dia lepaskan kerinduan pada abah," ujarnya.