PASIR GUDANG – Seorang ejen hartanah kerugian lebih RM130,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.
"Kejadian bermula pada 30 Oktober tahun lalu apabila mangsa menerima mesej daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pelaburan mata wang kripto.
"Mangsa dijanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat dan tertarik dengan tawaran tersebut sebelum menekan pautan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat lima transaksi ke dalam tiga akaun bank berlainan antara 21 November 2024 hingga 3 Januari lalu dengan jumlah keseluruhan RM130,000.
Katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas usaha mengeluarkan keuntungan pelaburan gagal dan dia diminta membuat bayaran tambahan.
"Hasil siasatan awal melalui platform Semak Mule CCID mendapati dua daripada tiga akaun yang terlibat mempunyai rekod kes penipuan pelaburan sebelum ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
"Jangan mudah terpedaya dan pastikan pelaburan yang ditawarkan mendapat pengesahan daripada pihak berwajib seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk tindakan lanjut.