Panel penasihat syariah tingkat keyakinan pencarum PERKESO

Iklan
PERKESO harus mengorak langkah ke hadapan dalam melihat konsep perkongsian dan pembahagian dana lebih kepada patuh syariah, selaras dengan kepercayaan pencarum. (Gambar kecil: Azizul dan Mohamad Idham)

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu mengambil langkah lebih agresif dengan menubuhkan panel penasihat syariah bagi memastikan instrumen pelaburan agensi selari dengan prinsip Islam.

Pakar kewangan, Azizul Azli Ahmad berkata, ia penting demi menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat terutama dalam kalangan majikan selain meningkatkan keyakinan masyarakat dan pencarum yang majoriti beragama Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PERKESO harus mengorak langkah ke hadapan dalam melihat konsep perkongsian dan pembahagian dana lebih kepada patuh syariah, selaras dengan kepercayaan pencarum.

"Sekarang kita mempunyai kesedaran mengenai pelaburan, berbeza satu ketika dahulu tiada masalah dengan insurans tetapi selepas ada takaful dan sebagainya, kita berhijrah.

Iklan

"Kita pilih instrumen takaful yang patuh syariah. Kalau tengok pencarum PERKESO, saya percaya dan yakin ramai Muslim, jadi perlu ada sesuatu yang menjadi dasar kepada kepercayaan pencarum.

"Menuju ke arah ini, PERKESO perlu mengambil langkah menubuhkan panel syariah,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu, Penyelidik dan Perunding Kewangan Islam, Dr Shahrul Azman Abd Razak menegaskan sudah tiba masanya PERKESO mencontohi KWSP yang memperkenalkan skim perlindungan sosial patuh syariah dan tidak sekadar bergantung kepada prinsip takaful dan model konvensional semata-mata.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, daripada sudut ekonomi, memperkenalkan skim perlindungan sosial patuh syariah bukan sekadar memenuhi keperluan agama tetapi mengoptimumkan pasaran secara inklusif.

Jelasnya, seperti sering ditekankan dalam analisis insentif, sistem selari dengan nilai pengguna boleh meningkatkan penyertaan khususnya dalam komuniti Muslim yang mungkin mengelak skim konvensional akibat elemen riba atau ketidakpastian (gharar).

"Alternatif patuh syariah boleh mengurangkan 'kegagalan pasaran' dengan merangkumi kelompok yang terpinggir sebelumnya sekali gus mengukuhkan jaringan keselamatan sosial.

"Selain itu, pelaburan beretika dalam instrumen halal boleh mendorong pertumbuhan sektor produktif yang selari dengan prinsip keadilan sosioekonomi Islam, menyumbang kepada kestabilan jangka panjang,” ujarnya.

Beliau berkata, memisahkan dana konvensional dan syariah memerlukan infrastruktur kewangan berbeza termasuk pengawasan berterusan.