ISU ketelusan dalam siasatan kes penghinaan agama sering menjadi perbincangan dalam masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini.
Setiap tindakan pihak berkuasa akan diperhatikan dengan teliti kerana rakyat mengharapkan keadilan dilaksanakan.
Rekod menunjukkan pihak berkuasa telah mengambil tindakan undang-undang terhadap ramai individu daripada latar belakang berbeza.
Contohnya, penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang yang mencetuskan perdebatan berkaitan akidah Islam.
Begitu juga insiden stoking bertulis kalimah ALLAH dan siasatan terhadap pelawak Harith Iskander serta Cecilia Yap Song.
Kes terbaharu melibatkan tiga penyampai radio Era FM didakwa menghina agama lain seperti dalam video yang tular di media sosial.
Bukan sahaja dikenakan denda puluhan ribu ringgit, malah pesalah dalam beberapa kes lain turut dijatuhkan hukuman penjara.
Antaranya pengendali Facebook 'Ricky Shane Ca' dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 21 Mac lalu dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Februari pula mengenakan penjara tujuh tahun terhadap seorang mualaf.
Sehubungan itu, bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara, komunikasi yang lebih terbuka dan telus amat diperlukan.
Penjelasan mengenai perkembangan terkini ataupun kelewatan siasatan akan membantu mengelakkan salah faham dan mengurangkan spekulasi.
Dari sudut perundangan, Malaysia mempunyai beberapa akta yang mengawal kes penghinaan agama, termasuk Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.
Namun, keberkesanan pelaksanaannya bergantung kepada kejelasan dalam penguatkuasaan dan pemahaman masyarakat.
Kepercayaan terhadap institusi keselamatan adalah asas kepada kestabilan negara. Jika kepercayaan ini terhakis, ia boleh membawa kepada pelbagai implikasi seperti peningkatan kebimbangan awam serta risiko ketegangan antara komuniti.
Oleh itu, usaha untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dan pihak berkuasa mestilah berterusan agar setiap lapisan masyarakat yakin bahawa keadilan dilaksanakan secara saksama.
Apa yang lebih penting, kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab perlu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta, bukan emosi atau sentimen tertentu.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa mesti meningkatkan komunikasi dan ketelusan dalam setiap tindakan.