BesutMaju proaktif bantu masyarakat ditimpa bencana

Iklan
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan BesutMaju, Mohammad Ismail menyampai bantuan kepada 25 orang murid Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Kuala Besut yang terlibat dengan banjir di Kampung Nangka, Kg. Gong Surau, Kg. Paya, Ging Manak dan Gong Nering.

BESUT - Pertubuhan BesutMaju sentiasa proaktif dalam membantu masyarakat setempat yang ditimpa bencana agar kesengsaraan kumpulan memerlukan di daerah ini dapat dikurangkan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan BesutMaju, Hazmin Mat Yusof berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif di daerah ini, mereka juga sangat komited untuk membantu individu dan keluarga yang menerima musibah.

Iklan
Iklan

"Kali ini menerusi program Jelajah Kasih BesutMaju, kami dapat membantu seramai 50 pelajar daripada dua buah sekolah, iaitu sekolah menengah dan rendah yang ditimpa musibah banjir hujung tahun lalu.

"Syukur, hasil daripada sumbangan ahli dan orang ramai yang mencecah RM20,000, dapatlah kami membantu mereka dalam bentuk bantuan kewangan dan pek makanan iaitu buah kurma sempena menjelang bulan Ramadan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam program ini, seramai 25 pelajar Kebangsaan Pasir Akar, Jerteh dan 25 pelajar lagi dari Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu, Kuala Besut menerima sumbangan.

Pertubuhan Besut Maju disertai oleh pelbagai lapisan antaranya anak jati setempat dan mereka yang telah menabur bakti di daerah ini seperti pernah bekerja atau bermastautin di Besut.

Iklan
Antara penerima bantuan daripada BesutMaju di Sekolah Kebangsaan Pasir Akar Jerteh yang terlibat dengan pemindahan banjir.

Program ini turut dihadiri Naib Presiden Pertubuhan Besut Maju, Datuk Muhamad Nasir Hamzah.

Selain itu, dalam program berlainan BesutMaju juga menyampaikan sumbangan kepada 100 ketua keluarga di seluruh daerah ini seperti kawasan Kuala Besut, Kota Putera, Jerteh, Hulu Besut dan Jabi.

"Sumbangan yang diterima ketua keluarga adalah berupa wang dan juga beras bagi meringankan perbelanjaan harian mereka,” katanya.

Tambah Hazmin, sumbangan seperti ini adalah aktiviti tahunan bagi pertubuhan itu.

"Sebelum ini, kami memberikan sumbangan kepada ketua keluarga, cuma tahun ini ditambah dengan pemberian sumbangan secara terus kepada pelajar yang memerlukan.

"Kami berharap sumbangan ini dapatlah mengurangkan bebanan keluarga kepada anak-anak ini untuk persiapan persekolahan mereka untuk sesi tahun ini. Ia tidaklah besar, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah membantu meringankan bebanan keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pertubuhan ini akan sentiasa mengenalpasti anak-anak atau masyarakat daerah ini yang memerlukan bantuan dalam usaha membantu dan meringankan keperluan mereka mengikut kapasiti NGO.

"Kami akan berusaha membantu di samping menyalurkan maklumat yang berkaitan kepada pihak yang sepatutnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pihak berkuasa yang berkaitan dengan masalah yang kami temui.

"Inilah masa untuk kami menyumbang kembali kepada daerah dan tempat kelahiran sebahagian besar daripada ahli Pertubuhan BesutMaju,” katanya.