GEORGE TOWN - Seorang pekerja penyelenggara direman tiga hari bagi membantu siasatan penemuan beg berisi lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul, di sini, Selasa lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nur Suhaila Baharin terhadap lelaki tempatan berusia 46 tahun bermula hari ini sehingga 8 Mac depan.
Permohonan reman dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Difahamkan, peluru itu dijumpai suspek pada Mei tahun lalu di sebuah rumah milik seorang lelaki yang sudah meninggal dunia pada 2021.
Suspek dikatakan menemui peluru berkenaan ketika melakukan kerja pembersihan sebelum menyimpannya di dalam stor di blok lain pangsapuri sama.
Suspek dikatakan meletakkan beg berisi peluru di tapak pembuangan sampah pangsapuri sebelum menelefon polis bagi memaklumkan penemuan kerana tidak tahu cara betul melupuskan peluru tersebut.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan polis berjaya menyelesaikan kes penemuan peluru dalam tempoh 24 jam selepas seorang lelaki tampil mengaku sebagai individu meletakkan peluru itu di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) ketika disoal siasat pada jam 1 petang, Rabu.
Difahamkan, peluru tersebut boleh digunakan untuk memburu haiwan dan latihan menembak.