Maritim Malaysia terima bot pemintas berteknologi tinggi kurniaan Agong

Iklan
Saiful Lizan menerima penyerahan bot pemintas jenis IC 1170CC kurniaan Agong pada majlis penyerahan di Pos Maritim Teluk Gading,Rompin pada Rabu.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang.

Aset baharu yang diterima itu membantu memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan negara.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kurniaan itu diberikan menerusi Royal Boat Hangar Johor dalam satu majlis di Pos Maritim Teluk Gading, Rompin pada Rabu.

Menurutnya, pemberian tersebut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keselamatan perairan negara serta kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam menangani ancaman jenayah maritim.

Iklan

"Bot ini pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac lalu dan akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan.

Saiful Lizan meninjau bot pemintas jenis IC 1170CC kurniaan Agong pada majlis penyerahan di Pos Maritim Teluk Gading,Rompin pada Rabu.

"Bot pemintas jenis IC 1170CC yang memiliki spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter dilengkapi enjin berkuasa tinggi hingga mampu mencapai kelajuan maksimum 56 knot dengan kelajuan pelayaran optimum 40 knot," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Iklan

Saiful Lizan berkata, reka bentuk dalaman bot itu telah diubah suai untuk keselesaan dan kelancaran pergerakan kru ketika operasi selain dilengkapi treler aluminium bagi membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan.

Bot pemintas jenis IC 1170CC kurniaan Agong kepada Maritim Malaysia Pahang.

Jelas beliau lagi, bot berasaskan teknologi moden itu direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum dalam usaha memperkukuhkan kawalan perairan negara.

"Bot ini akan digunakan dalam pelbagai operasi termasuk rondaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dan penguatkuasaan undang-undang di laut.

"Keupayaan bot ini akan memperkasakan lagi peranan Maritim Malaysia dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Pahang,” katanya.