DALAM era digital ini, kandungan media sosial semakin berpengaruh dan penyampai radio mahupun selebriti sering menggunakan platform berkenaan untuk menarik perhatian ramai.
Namun, ada segelintir yang mengambil jalan mudah dengan menghasilkan kandungan menyentuh sensitiviti agama, tanpa memikirkan akibatnya.
Baru-baru ini, tiga penyampai sebuah stesen radio terkenal direhatkan selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap menyentuh sensitiviti agama menerusi satu video mereka.
Walaupun mendakwa ia sekadar gurauan, tindakan itu menerima kecaman hebat daripada masyarakat.
Kejadian ini jelas menunjukkan betapa pentingnya penyampai radio dan selebriti menjaga tutur kata serta memahami batas dalam menyampaikan kandungan kepada khalayak umum.
Selain itu, kes seorang selebriti tempatan yang secara terbuka mempersendakan amalan keagamaan lain dalam sebuah video tular juga mengundang tindakan tegas pihak berkuasa.
Di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 298A, mana-mana individu yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan atas dasar agama, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.
Kebebasan berkarya tidak bermakna seseorang itu boleh sesuka hati menghasilkan kandungan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.
Walaupun matlamatnya sekadar hiburan atau mendapatkan perhatian, tidak semestinya ia boleh dijadikan alasan untuk menghina atau meremehkan agama lain.
Tambahan pula, terdapat kes di mana seorang pempengaruh media sosial dikenakan tindakan selepas memuat naik video yang dianggap mempersenda ritual keagamaan tertentu.
Walaupun si pelaku mendakwa ia sekadar gurauan, kesan daripada perbuatannya menyebabkan laporan polis dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948.
Itu jelas menunjukkan bahawa tindakan mempersenda agama bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Untuk mengelakkan insiden sebegini berulang, pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam memantau kandungan yang dimuat naik oleh personaliti terkenal.
Paling utama, netizen harus lebih bijak dalam menilai sekali gus tidak menyokong kandungan yang berbaur penghinaan terhadap agama.