Tak naikkan harga walaupun terbeban

Iklan
Fatin Munirah tidak tergamak menaikkan harga bagi ayam bakar madu di gerainya di Bazar Ramadan Bayan Baru.

SHAH ALAM - Di sebalik ramainya peniaga bazar Ramadan tahun ini terpaksa menaikkan harga susulan peningkatan kos sewa tapak dan bahan mentah, masih ada penjual yang mampu mengekalkan harga seperti tahun lalu demi menjaga pelanggan.

Seorang peniaga ayam golek, Mohamad Faizal Sarwani, 40, berkata, dia masih mengekalkan harga RM23 bagi seekor ayam golek bagi mengurangkan beban pelanggan.

Iklan
Iklan

"Sekarang harga barangan naik, jadi bagi saya biarlah untung sedikit tetapi tidak membebankan pelanggan,” katanya.

Mohamad Faizal

Iklan

Mohamad Faizal yang berniaga di Bazar Ramadan Tanjong Karang memberitahu, keutamaannya adalah memastikan ayam goleknya sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi dan berterusan.

"Setiap hari saya menyasarkan untuk menjual sebanyak 80 ekor ayam golek. Dari segi harga ayam mentah tiada masalah, cuma bekalannya agak terhad,” katanya yang mendapatkan bekalan terus daripada pembekal ayam di Klang.

Iklan

Di GEORGE TOWN, peniaga ayam madu bakar, Fatin Munirah Mohd Ismail, 37, berkata dia tidak tergamak untuk menaikkan lagi harga ayam bakar yang dijualnya di Bazar Ramadan Bayan Baru kerana merasakan harga itu sudah terlalu tinggi.

Ujarnya, harga RM34 untuk seekor ayam madu bakar sudah cukup mahal walaupun kos modalnya agak tinggi.

"Harga ini tetap sama macam bulan Ramadan tahun lepas, RM34 untuk seekor ayam, sudah terlalu tinggi. Saya tak gamak nak naikkan harga lagi, kasihan dengan pelanggan,” katanya.

Di SETIU, seorang peniaga cendol di bazar Ramadan di sini tidak menaikkan harga jualan meskipun terkesan dengan kenaikan harga santan.

Nor Fazidah Yusof, 39, berkata, dia mengekalkan harga asal kerana bimbang kehilangan pelanggan sekiranya minuman cendol itu dinaikkan RM1 atau RM2 lagi.

"Saya memang terkesan dengan harga barang terutama santan yang sebelum ini RM12 sekilogram tetapi kini cecah RM17.

Nor Fazidah

"Meskipun berdepan cabaran kenaikan kos barang, saya buat keputusan tidak naikkan harga sebab kalau naik lagi harga memang tiada orang nak beli.

"Ditambah pula dengan persaingan gerai minuman lain yang tawar harga lebih murah,” katanya.

Nor Fazidah berkata, dia menjual cendol pada harga RM5 untuk satu plastik dan setiap satu cawan berukuran besar.

"Masih lagi mendapat sambutan minuman cendol ini sebab kita masih kekalkan kuantiti yang sama serta rasa yang sedap dan berkualiti.

"Satu plastik cendol itu cukup untuk minum dua orang malah harga pun tak naik. Jadi ramai lagi masih beli sebab harga masih sama,” ujarnya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, seorang peniaga di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini mengekalkan harga martabak daging pada RM4 sekeping sejak dua tahun lalu.

Dzulkifli Mohd Tahir berkata, dia sanggup mengecilkan margin keuntungan dan bergantung kepada jualan dalam skala besar bagi memastikan pelanggannya masih mampu menikmati juadah itu pada harga berpatutan.

"Memang kos semakin tinggi, telur dulu RM12 sepapan, sekarang sudah RM13.50.

"Sewa tapak pun meningkat daripada RM580 kepada RM1,750 untuk lot sudut, tapi saya masih jual pada harga lama sebab percaya kalau kita niat sedekah, rezeki akan datang dari jalan lain,” katanya.

Menurutnya, lebih 100 martabak berjaya dijual setiap hari, membolehkannya mendapat keuntungan walaupun lebih kecil berbanding sebelum ini.

Selain martabak, Dzulkifli yang berniaga bersama anaknya, Ahmad Zulkarnain, 38, turut menjual roti john di dua lokasi berbeza.

Menyedari cabaran berniaga semakin besar, dia tetap memastikan kebajikan pekerjanya terjaga dengan membayar gaji bermula RM1,700 serta mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

"Alhamdulillah, walaupun margin kecil, pelanggan tetap ramai dan jualan semakin meningkat,” katanya.