SHAH ALAM - Semua pihak digesa mengelak dan berhenti serta-merta daripada mengapi-apikan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian negara, tegas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang terlibat dalam penyebaran berbentuk provokasi di media sosial.
Menurutnya, tindakan tegas melalui Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil bagi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.
"Saya ingin menegaskan tindakan segelintir warganet yang menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan, dan mempersendakan agama di platform media sosial adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.
"Tindakan tidak bertanggungjawab yang menjurus kepada perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah suatu ancaman kepada keamanan dan keharmonian negara.
"Saya dengan ini memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak lagi mengulangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular di TikTok video seorang warganet membuat kenyataan mempersendakan ajaran agama Islam.
Tindakan itu juga turut dilakukan oleh warganet lain sehingga mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum di Malaysia.
Tambah Aaron, Kementerian Perpaduan Negara akan terus melaksanakan Kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip integrasi nasional faham, hormat dan terima melalui pelbagai program supaya dapat mendidik rakyat Malaysia dalam menghormati agama dan budaya penganut lain.
Tegasnya, tindakan provokatif yang tidak menghormati perasaan agama dan kaum lain boleh merosakkan keharmonian negara.
"Saya mengingatkan kepada mereka yang terlibat dalam tindakan sedemikian agar berhenti dan memikirkan kesan buruk yang boleh timbul daripada perbuatan mereka.
"Tindakan provokatif yang tidak menghormati perasaan agama dan kaum lain boleh merosakkan keharmonian negara kita," katanya.