PRK Ayer Kuning: PH berperanan sebagai pendukung, pastikan kemenangan BN

Iklan
Saifuddin bercakap pada sidang media Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Kompleks Setia Perkasa pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pakatan Harapan (PH) Perak akan memainkan peranan sebagai pendukung kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti, kata Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di sini pada Rabu, Saifuddin Nasution berkata, langkah itu bagi memastikan BN mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Iklan
Iklan

"Keputusan untuk menjadi pendukung dibuat berdasarkan prinsip penyandang, dan ini adalah persetujuan yang dicapai dalam kerangka Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, PH Perak akan memulakan gerak kerja setelah mendapat arahan daripada Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan persiapan mengatur gerak kerja mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Iklan

"Kita akan aktifkan jentera kita di peringkat pusat dan di peringkat negeri, kemudian kami akan tentukan keperluan logistik sebelum mengagihkan tugas, dengan matlamat akhirnya adalah mempertahankan kemenangan kerusi ini buat BN,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata, dalam hal ini tidak timbul persoalan berhubung dakwaan PH akan meletakkan calon untuk kerusi berkenaan.

Iklan

Pada 1 Mac lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata enam calon daripada peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah disenaraikan untuk pertimbangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi PRK DUN Ayer Kuning nanti.

Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Nov 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas urusan PRK DUN Ayer Kuning pada Jumaat ini. - Bernama