KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa penyelesaian kes saman sivil antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat atas dasar muhibah tanpa sebarang permohonan maaf atau pengakuan kesilapan daripada pihaknya.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Ahmad Amzad menjelaskan bahawa beliau tidak perlu membayar sebarang kos dan penyelesaian tersebut dipersetujui bagi mengelakkan perbicaraan lanjut yang boleh merugikan kedua-dua pihak.
Iklan
Iklan
"Saya rasa ramai tak baca betul-betul penyelesaian kes sivil antara saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pertama, tiada permohonan maaf perlu dilakukan oleh saya. Kedua, tiada pengakuan khilaf, salah, silap direkodkan. Ketiga, saya tidak perlu bayar apa-apa kos.
"Penyelesaian ini semata-mata atas dasar goodwill atau muhibah yang mengambil kira hasrat untuk tidak memanjangkan kes ini yang akan merugikan kedua dua pihak," tulisnya pada Rabu.
Kes saman ini bermula apabila Anwar memfailkan tuntutan terhadap Ahmad Amzad berhubung kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri memperoleh pengampunan diraja melalui campur tangan politik. Kes tersebut mendapat perhatian ramai kerana ia melibatkan isu berkaitan sistem kehakiman dan institusi diraja.
Bagaimanapun, selepas perbincangan antara kedua-dua pihak, satu penyelesaian dicapai tanpa sebarang permohonan maaf daripada Ahmad Amzad, sekali gus menamatkan pertikaian mahkamah secara baik.