'Rumah ada Astro, tapi kenapa sewa abaikan?' - Aminuddin

Iklan
Aminuddin (gambar kecil) menegur sikap segelintir penyewa rumah PPR yang culas membayar sewa meskipun kadar sewa dikenakan adalah sangat rendah.

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegur sikap segelintir penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang culas membayar sewa meskipun kadar sewa dikenakan adalah sangat rendah.

Beliau berkata, ada sesetengah daripada mereka yang seolah-olah beranggapan tidak perlu membayar sewa kerana itu adalah rumah milik kerajaan.

Iklan
Iklan

"Mereka anggap ini rumah kerajaan, jadi tak perlu bayar. Tapi bila kita ambil tindakan cabut pintu, mereka mampu bayar RM12,000 atau RM8,000 serta-merta.

"Kita nampak tindakan itu ekstrem. Tapi mereka kena faham kenapa tindakan itu diambil kerana apabila kita buka (cabut pintu), mereka mampu bayar pula," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan penyewa terbabit bukannya tiada duit tetapi sengaja tidak mahu bayar sewa.

"Saya lihat komen-komen, nampak mereka setuju supaya tindakan diambil.

Iklan

"Rumah ada Astro dan boleh bayar, tapi kenapa tempat tinggal mereka abaikan? Mereka anggap kerajaan punya tak perlu bayar," katanya.

Tambah Aminuddin, sekiranya ada yang betul-betul susah dan tidak mampu membayar sewa, mereka boleh maklumkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Jelasnya, jika mempunyai tunggakan yang tinggi, mereka sepatutnya datang berbincang untuk membayarnya secara beransur-ansur.

"Kalau bawah RM150 ini memang mereka mampu sangat dan hari ini bila saya lihat senarai, yang duduk sebahagiannya bukan penyewa asal.

"Kita sedang pertimbangkan untuk buat pemutihan yang bilangannya bukan satu, dua, tapi berpuluh-puluh," katanya.

Beliau berkata, penyewa rumah PPR sepatutnya bersyukur kerana hanya dikenakan sewa RM150 berbanding terpaksa menyewa di rumah lain di daerah ini yang paling murah sekarang sekitar RM500 ke RM600.

Sebelum ini media melaporkan, MBS bertindak mencabut enam pintu rumah penyewa PPR Lobak di sini selepas gagal menjelaskan tunggakan sewa sehingga ada yang mencecah RM34,000.