Dua ditahan bersama dadah bernilai RM1.17 juta

Iklan
Sebanyak 265 peket plastik dipercayai mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 6,718 gram dengan nilai pasaran RM1.12 juta serta 23 cawan berpenutup berisi serbuk MDMA seberat 966 gram bernilai RM6,900 dirampas dalam pemeriksaan di sebuah kondominium.

GEORGE TOWN - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing dalam serbuan di sekitar Jelutong di sini pada Isnin.

Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 8.45 malam itu, pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM1.17 juta berjaya dirampas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah kedai yang membawa kepada penahanan suspek lelaki.

Barangan yang dirampas ketika polis menahan suspek lelaki pada malam Isnin.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga peket plastik yang mempunyai tulisan dan logo mengandungi serbuk dadah jenis jus methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 118 gram dengan nilai dianggarkan RM19,706.

Iklan

"Soal siasat ke atas suspek membawa kepada pemeriksaan sebuah kenderaan di lokasi sama sebelum polis menemui 50 botol minuman disyaki mengandungi cecair jus MDMA berjumlah 19,700 mililiter (ml) bernilai RM15,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebanyak 50 botol minuman disyaki mengandungi cecair jus MDMA bernilai RM15,000 dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.

Tambah beliau, polis turut merampas 16 cawan berpenutup mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 672 gram bernilai RM4,800.

Iklan

"Susulan penahanan suspek lelaki itu, polis menyerbu sebuah kondominium berhampiran dan menahan seorang wanita warga asing.

"Pemeriksaan lanjut menemui 265 peket plastik pelbagai warna dipercayai mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 6,718 gram dengan nilai pasaran RM1.12 juta. Selain itu, sebanyak 23 cawan berpenutup berisi serbuk MDMA seberat 966 gram bernilai RM6,900 turut dirampas,” katanya.

Hamzah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek berusia 32 dan 42 tahun itu direman tujuh hari bermula 4 hingga 10 Mac untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita turut menyita sebuah motosikal bernilai RM5,600 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan," katanya.

Ujar beliau, jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.