Pempengaruh Ammar Nazhan tidak mengaku bergaduh di Bukit Bintang

Iklan
Ammar Nazhan dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh Ammar Nazhan yang mencetuskan kontroversi di Indonesia dan seorang lagi pempengaruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu pertuduhan bergaduh di Bukit Bintang pada minggu lalu.

Ammar Mohd Nazhan Noralyadi, 29, dan Muhammad Hafizul Haiman, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa melakukan gaduh gempar di sebuah restoran di pusat beli-belah di Bukit Bintang pada jam 10.15 malam pada 25 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam K Ramalingam yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Iklan

"Mereka yang masih bujang bekerja sebagai pencipta kandungan dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aina Azahra membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 14 April untuk sebutan kes.

Sementara itu di mahkamah sama, empat lagi individu didenda masing-masing RM500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka ialah Muhammad Al Mubarak Bahauddin Selamet, 28; Jebat Zulfar Nurfakhrullah Abd Ghapar, 24; Abdul Rahim Abd Hakim, 23 dan Muhammad Ady Putra Amirul Abdul Rahman.

Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pada Sabtu lalu, pihak polis menahan 11 lelaki tempatan berusia 17 hingga 28 tahun berhubung kejadian rusuhan yang berlaku di sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini selepas perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial pada 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada 12.45 tengah malam sebelum siasatan dan tangkapan terhadap semua suspek dijalankan.