SHAH ALAM - Golongan wanita digesa jangan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mereka menjadi mangsa penderaan mental, fizikal dan keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan wanita tidak perlu takut untuk bangkit melawan keganasan rumah tangga dan perlu memahami hak-hak mereka.
Nancy berkata, tindakan berkenaan perlu susulan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan berlaku di Malaysia setiap tahun.
"Keganasan rumah tangga ini bukan hanya berlaku kepada wanita yang sudah berkahwin, malah wanita yang belum berkahwin juga berisiko. Oleh itu, wanita harus berani untuk membela diri dan mengenali hak mereka.
"Banyak wanita yang mungkin merasa takut untuk melaporkan keganasan atau penderaan yang mereka alami kerana takut dipukul atau dibuli lebih teruk.
"Saya sering bercakap dengan wanita yang belum berkahwin – kalau anda belum ada teman lelaki, garang-garang sikit! Walaupun dia 'handsome', itu tidak bermakna anda harus menerima perlakuan yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu istimewa rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rancangan yang dihos oleh pelakon, pengacara dan penyanyi wanita, Ain Edruce, turut menampilkan dua tetamu undangan lain iaitu penyayi Sissy Imann dan bekas peserta program realiti berunsur Islam, Da’i Izzhar Nazri.
Untuk rekod, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga pada tahun lalu berbanding 2023 dan 2022.
Pada tahun 2022, sebanyak 6,540 kes telah direkodkan, diikuti dengan 5,507 kes pada tahun 2023 manakala pada tahun 2024, sebanyak 7,116 kes dilaporkan.
Justeru, Nancy menegaskan adalah penting bagi wanita sendiri mempunyai kesedaran mengenai hak-hak mereka.
"Wanita tidak sepatutnya membenarkan diri mereka diperlakukan dengan cara yang tidak adil. Kita perlu tahu hak kita sebagai manusia dan wanita. Tiada siapa yang berhak untuk menzalimi kita,” jelasnya.
Tambah beliau, beberapa inisiatif dilaksanakan kementerian tersebut yang bertujuan memberi sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga.
"Kini, kita mempunyai undang-undang yang lebih tegas, termasuk Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS), yang membolehkan kes-kes gangguan seksual dan keganasan rumah tangga diselesaikan dengan cepat. Ini memberi ruang bagi wanita untuk mencari perlindungan dan keadilan,” katanya.
Berikutan itu, Nancy menyeru agar wanita tidak takut untuk menggunakan saluran undang-undang sedia ada.
"Kita ada undang-undang untuk melindungi wanita dan anak-anak. Jangan takut untuk belajar mengenai hak-hak anda dan mencari bantuan apabila diperlukan,” tambahnya.