KUANTAN – Seorang pesara warga emas mengalami kerugian sebanyak RM105,311.72 selepas membuat 35 kali pindahan wang ke dalam 19 akaun berbeza demi mendapatkan pinjaman RM60,000 yang tidak wujud.
Kejadian itu bermula pada Februari lalu apabila mangsa berusia 61 tahun itu melihat iklan mengenai pinjaman wang di aplikasi Google atas nama sebuah syarikat pinjaman.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu tidak dikenali melalui WhatsApp yang mengaku sebagai ejen syarikat pinjaman tersebut.
"Mangsa menyerahkan maklumat peribadi, termasuk gambar kad pengenalan dan penyata pencen bagi memohon pinjaman sebanyak RM60,000.
"Tidak lama selepas itu, suspek memaklumkan pinjaman telah diluluskan dan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk pemarkahan kredit, caj Cukai Perkhidmatan (SST), insurans, ujian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), serta bayaran lain," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Yahaya, mangsa menggunakan wang simpanan membuat 35 transaksi ke dalam 19 akaun berbeza menyebabkan kerugian lebih RM105,000 dari 8 hingga 26 Februari lalu.
Jelasnya, tindakan itu dibuat kerana yakin akan memperoleh wang pinjaman tersebut.
"Namun, selepas semua bayaran dibuat, mangsa masih tidak menerima pinjaman yang dijanjikan.
"Apabila meminta wangnya dipulangkan, ejen tersebut menuntut bayaran tambahan dan mengugut untuk menyebarkan gambar kad pengenalannya di Facebook serta menghantar pemungut hutang ke rumahnya," katanya.
Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan pinjaman kewangan, terutama di platform dalam talian.
"Tegasnya, masyarakat disarankan untuk membuat semakan terlebih dahulu dan hanya berurusan dengan syarikat pinjaman yang sah serta berdaftar bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
"Selain itu, orang ramai perlu berwaspada terhadap modus operandi sindiket penipuan yang semakin canggih seiring perkembangan teknologi," katanya.