SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia memberi peringatan kepada orang ramai mengenai modus operandi terbaharu oleh sindiket penipuan yang menyasarkan ahli keluarga serta waris prospek.
Menurut Jabatan Penjara Malaysia, sindiket penipuan dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara dengan menggunakan nama samaran palsu seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani, Sarjan Zam dan pelbagai nama samaran lain.
Katanya, ia bertujuan memperdaya ahli keluarga atau waris prospek dengan menggunakan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp.
"Sindiket menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih dan meminta sejumlah wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi prospek di dalam institusi penjara.
"Mereka menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris prospek," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terlibat dan Jabatan Penjara Malaysia akan bekerjasama dalam membantu siasatan.
"Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan sedia mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab," ujarnya.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia menasihatkan ahli keluarga atau waris prospek yang menerima pesanan ringkas mencurigakan tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang tidak dikenali.
Jelasnya, dalam masa sama, orang ramai perlu membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan seumpama ini.
"Seterusnya, melaporkan perkara tersebut kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut. Jabatan Penjara Malaysia komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
"Semua pihak diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Jabatan Penjara Malaysia untuk kepentingan peribadi," ujarnya.