KOTA BHARU - Masih ada bantuan makanan dan keperluan lain yang tidak dapat sampai ke Gaza kerana disekat oleh Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, bagaimanapun penduduk yang kini sedang menjalani ibadah puasa sudah biasa dengan keadaan daif selepas memerangi Zionis itu.
Beliau memberitahu, penduduk juga bersemangat untuk membangunkan perniagaan dan kediaman yang musnah akibat kezaliman Zionis.
"Mereka tiada masalah menyambut Ramadan dalam keadaan serba kekurangan selain berdepan kesukaran mendapatkan barangan keperluan," katanya ketika ditemui selepas Forum Sambutan Kemenangan Gaza pada Selasa.
Hadir sama pada program yang berlangsung selepas solat tarawih itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.
Muhammad Nadir yakin penduduk mampu bertahan selama beberapa bulan dengan stok makanan dan barangan sebanyak 600 lori yang sampai di Gaza dalam tempoh gencatan senjata.
Menurut aktivis itu juga, kanak-kanak di bumi Gaza sedang kembali semula ke sekolah selepas kerajaan mengisytiharkan sekolah yang boleh beroperasi.
"Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia sedang membangunkan sekolah untuk mereka meneruskan persekolahan dan pengajian di universiti.
"Kami juga membuka sekolah terbesar di Semenanjung Gaza membabitkan 3,000 pelajar," katanya.
Jelasnya lagi, persatuan itu turut menyalurkan bantuan sebanyak RM35 juta sejak awal peperangan," katanya.
Dianggarkan kira-kira 50,000 penduduk Palestin syahid dalam peperangan dengan Israel sebelum gencatan senjata pada