Kawal penerokaan hutan di Cameron Highlands

Iklan

CAMERON Highlands bukan lagi seperti dahulu, udaranya yang sebelum ini sejuk dan nyaman kini semakin hangat sekali gus membuktikan perubahan iklim berlaku di segenap kawasan negara ini termasuk di tanah tinggi berkenaan.

Berdasarkan rekod data meteorologi dari 1969 hingga 2024, suhu kawasan pelancongan itu menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii sebelum ini dilaporkan berkata, 2024 mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di Cameron Highlands dengan purata suhu harian mencecah 18.91 darjah Celsius.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah Celsius berbanding purata suhu harian jangka panjang dari 1991 hingga 2020 iaitu 18.05 darjah Celsius. Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di situ pula ialah 27.9 darjah Celsius pada Mei 1998.

Iklan

Disebabkan situasi tersebut, kerajaan tidak boleh terus bersikap tunggu dan lihat kerana suhu yang semakin meningkat bukan sahaja mengancam ekosistem semula jadi bahkan turut memberi kesan langsung kepada sektor pertanian, pelancongan dan kehidupan harian penduduk tempatan sendiri.

Pekebun-pekebun yang bergantung sepenuhnya kepada cuaca sejuk untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan terutamanya strawberi yang menjadi buah ikonik Cameron Highlands kini berdepan dengan kemungkinan hasil tanaman yang merosot akibat suhu yang kian naik seterusnya boleh menjejaskan ekonomi mereka.

Iklan

Peningkatan suhu turut dilihat membawa impak besar kepada industri pelancongan kerana Cameron Highlands selama ini menjadi destinasi pelancongan utama untuk mereka yang ingin lari dari bahang panas kota kini semakin kehilangan daya tarikannya.

Kerajaan perlu segera mengambil langkah drastik dengan melaksanakan dasar yang lebih tegas terhadap penerokaan tanah haram untuk pertanian dan pembangunan tidak terkawal yang mungkin menjadi punca utama kemusnahan alam sekitar di kawasan terbabit.

Pemuliharaan hutan sedia ada serta usaha penanaman semula pokok harus digandakan kerana hutan merupakan benteng semula jadi yang berfungsi mengekalkan keseimbangan suhu dan mengawal perubahan iklim secara berkesan.

Selain itu, penggunaan teknologi hijau dalam sektor pertanian mesti digalakkan dengan memperkenalkan sistem pengairan yang lebih cekap serta kaedah pertanian moden yang mesra alam bagi mengurangkan kebergantungan kepada cuaca semata-mata.

Pihak berkuasa tempatan perlu memperketat kawalan terhadap aktiviti pembangunan dengan memastikan setiap projek yang diluluskan mengambil kira aspek kelestarian alam bagi mengelakkan penebangan hutan secara berleluasa dan pembinaan di kawasan berisiko tinggi.

Di samping itu, kerajaan boleh mempertimbangkan insentif khas kepada pekebun dan pengusaha pelancongan yang mengamalkan kaedah mesra alam seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta sistem penyejukan semula jadi di premis mereka.

Pada masa sama, kerajaan negeri dan persekutuan perlu berganding bahu dalam merangka satu pelan jangka panjang yang lebih menyeluruh dengan menumpukan kepada strategi mitigasi dan adaptasi untuk menangani kesan perubahan iklim di Cameron Highlands.

Kerajaan wajib membuktikan komitmen dalam menangani krisis ini dengan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang alam sekitar serta memastikan setiap dasar pembangunan selari dengan agenda kelestarian yang sebenar.

Jika tindakan tegas tidak diambil dalam masa terdekat, tidak mustahil satu hari nanti Cameron Highlands akan kehilangan keunikan dan keistimewaannya serta menjadi sekadar satu lagi kawasan tanah tinggi yang bukan lagi tumpuan ramai akibat kerakusan manusia.

*Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian